26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Pengganti Zeti patut arif selok-belok pelaburan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

PENGUMUMAN Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini bahawa Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz tidak menyambung perkhidmatan selepas 30 April 2021 bukan sesuatu yang mengejutkan.

Keputusan itu sudah dijangka dalam kalangan ramai pemerhati di negara ini memandangkan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu dilantik semasa era kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kini, timbul persoalan tentang siapakah yang bakal menggantikan tempat Zeti.

Ada nama yang sudah disebut dalam laporan media namun setakat ini tidak dapat disahihkan selagi pengumuman rasmi belum dibuat sama ada oleh PNB atau kerajaan.

Dalam situasi ekonomi yang amat mencabar akibat kesan pandemik COVID-19, rakyat terutamanya para pemegang unit pasti mengharapkan agar PNB diterajui oleh tokoh yang berpengalaman luas dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang selok-belok pelaburan.

Walaupun PNB mempunyai pasukan yang mantap di bawah penyeliaan seorang Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, peranan Pengerusi Kumpulan juga penting agar beliau dapat menyumbang secara aktif terhadap institusi pengurusan dana terbesar di Malaysia itu.

Mengimbau kembali sejarah PNB, tiga Pengerusi Kumpulannya sebelum ini iaitu Tun Ismail Mohd Ali, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Zeti sendiri mempunyai latar belakang dalam sektor perbankan dan korporat.

Ismail pernah menjadi Gabenor BNM dan begitu juga dengan Zeti manakala Abdul Wahid merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Maybank.

Setakat ini, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid merupakan satu-satunya bekas Pengerusi Kumpulan PNB yang berlatarkan pentadbiran awam sepenuhnya.

Seperti yang dijelaskan oleh PNB, institusi tersebut mencapai kemajuan besar dalam tiga bidang utama sejak Zeti dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan.

Pertama, pendedahan PNB dalam aset antarabangsa meningkat kepada 12.3 peratus pada penghujung 2020 hasil usaha kepelbagaian ke dalam kelas aset dan pasaran global yang lebih luas, sekali gus memperkukuhkan portfolio pelaburan PNB daripada hanya tertumpu dalam ekuiti domestik.

Kedua, PNB juga berjaya mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko dan kecairannya dengan fokus menurunkan peratusan pegangan tunai yang tinggi hasil daripada pengurusan pendedahan risiko pertukaran asing yang lebih besar.

Ketiga, PNB telah memulakan transformasi organisasi di seluruh kumpulan yang telah menghasilkan inovasi digital, kecekapan operasi dan pengembangan bakat menerusi pelbagai inisiatif.

Sesiapa sahaja yang bakal dilantik menggantikan Zeti perlu menerusi legasi yang ditinggalkan beliau dan lebih baik lagi jika Pengerusi Kumpulan yang baharu mampu melonjakkan prestasi PNB ke aras yang lebih tinggi dalam iklim pelaburan negara yang agak mendung ketika ini.

Dengan berbekalkan pengalaman luas dalam sektor perbankan dan korporat, Zeti, Abdul Wahid dan Ismail berjaya memastikan PNB kekal berdaya tahan ketika mengharungi lautan ekonomi bergelora di peringkat global dan domestik.

Pengerusi Kumpulan juga sewajarnya berupaya membentengi PNB daripada sebarang campur tangan politik agar matlamat memberi pulangan optimum kepada setiap pemegang unit dapat terus direalisasikan.

Semoga tokoh yang bakal dilantik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zeti mampu memikul amanah yang amat berat ini. – EDISI 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan