32.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Zeti Aziz bukan lagi Pengerusi PNB mulai 1 Mei

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tidak akan menyambung perkhidmatan sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mulai 1 Mei ini setelah menamatkan penggal selama tiga tahun pada 30 April.

PNB dalam kenyataan media hari ini mengumumkan bahawa Zeti telah secara rasmi menulis surat kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan hasrat beliau untuk tidak memperbaharui tempoh jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan setelah menamatkan penggal tiga tahunnya.

Menurut PNB, Zeti telah memacu perjalanan transformasi PNB sejak pelantikan beliau sebagai Pengerusi Kumpulan pada tahun 2018, yang telah menyaksikan institusi tersebut mencapai kemajuan besar dalam tiga bidang utama.

“Pertama, usaha kepelbagaian ke dalam kelas aset dan pasaran global yang lebih luas menyaksikan pendedahan PNB dalam aset antarabangsa meningkat kepada 12.3 peratus pada akhir tahun 2020.

“Usaha ini telah mengukuhkan portfolio pelaburan PNB daripada hanya tertumpu dalam ekuiti domestik.

“Kedua, PNB telah berjaya mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko dan kecairannya, dengan fokus menurunkan peratusan pegangan tunai yang tinggi hasil daripada pengurusan pendedahan risiko pertukaran asing yang lebih besar.

“Akhir sekali, PNB telah memulakan transformasi organisasi di seluruh kumpulan yang telah menghasilkan inovasi digital, kecekapan operasi dan pengembangan bakat menerusi pelbagai inisiatif,” jelas PNB.

Advertisements

Sementara itu, Zeti berkata, kesempatan berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan PNB selama tiga tahun adalah satu penghormatan buatnya, di mana PNB telah melaksanakan agenda transformasi organisasi dalam tempoh yang mungkin paling mencabar dan transformatif pernah dialami.

Menurut beliau, hari ini, agenda transformasi tersebut telah mendorong potensi peningkatan prestasi dan inovasi yang lebih besar, serta kecekapan yang lebih tinggi.

“PNB kini berada dalam kedudukan teguh untuk melakukan yang lebih baik lagi pada masa depan dan meraih penciptaan nilai jangka panjang yang disasarkan demi para pemegang unit kami,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Ahmad Zulqarnain Onn memberitahu, bagi pihak Lembaga Pengarah, pasukan kepimpinan dan semua rakan sekerja di PNB, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Zeti Akhtar Aziz atas kepimpinan yang berwawasan dan sumbangan yang tidak ternilai beliau kepada PNB, ASNB dan Syarikat Kumpulan PNB sepanjang tempoh tiga tahun.

“Beliau membawa bersamanya hampir empat dekad pengalaman dalam perkhidmatan awam dan pengukuhan institusi, yang telah memberi banyak manfaat kepada PNB,” katanya.

Pelantikan Pengerusi Kumpulan baharu akan diputuskan oleh Yayasan Pelaburan dalam masa terdekat. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan