KUALA LUMPUR – “Roger Tun! Sila hantar Kit Siang pulak,” demikian seloroh Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengetahui , Tun Dr Mahathir Mohamad menolak cabarannya untuk berdebat.
Najib berkata, beliau percaya Lim Kit Siang masih tengah fikir 10 soalan yang beliau ajukan kepada ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Namun menurut Najib, beliau tidak mengajak Dr Mahathir berdebat.
“Saya cuma jawab komen netizen jika saya ada masalah untuk debat dengan PM4/7/7i. Saya jawab “no problem”,” tulis Najib dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, ahli Parlimen Langkawi itu dilapor menolak cabaran Najib untuk berdebat.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau tidak mempunyai sebarang sebab untuk berdebat dengan Najib yang juga bekas Perdana Menteri kerana pemimpin terbabit telah disabitkan di mahkamah.
“Tiada sebab untuk berdebat dengan Datuk Sri Najib (Tun) Razak sekarang setelah segala tuduhan terhadapnya telah terbukti benar oleh mahkamah,” katanya di laman Facebooknya hari ini.
Dr Mahathir mengulas laporan sebuah portal bertajuk ‘Najib cabar Mahathir debat’.
Najib ketika menjawab komen yang diberikan pengguna di Facebooknya berkata, pihaknya bersedia pada bila-bila masa untuk berdebat dengan ahli Parlimen Langkawi itu.
Komen Najib itu kemudiannya disokong pengikutnya yang berharap agar cadangan itu dapat direalisasikan bagi membolehkan rakyat menilai kebenaran di sebalik semua dakwaan dilontarkan Dr Mahathir.
Untuk rekod, Najib dan Mahathir sebelum ini tidak pernah duduk sepentas untuk berdebat bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan.
Bagaimanapun dilaporkan Mahathir pernah beberapa kali mencabar Najib untuk berdebat sebelum ini bagi menjawab semua kritikan yang dilemparkan.