Kuala Lumpur –Donald Trump meneruskan tindakan kontroversinya apabila mendakwa memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi membolehkan beliau memegang jawatan untuk penggal kedua walaupun pengiraan undi di 10 wilayah masih belum selesai.
Agensi-agensi berita melaporkan,Presiden AS itu juga mendakwa, berlaku penipuan dalam pilihan raya tahun.
“Ini adalah penipuan terhadap masyarakat Amerika, ini memalukan negara kita. Kami bersiap untuk memenangi pilihan raya ini, terus terang, kami memenangi pilihan raya ini,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan di Washington.
Ketika ini, pencabar Trump dari Parti Demokrat, Joe Biden sedang mendahului 238 undi elektoral berbanding Trump yang mendapat 213 . Calon yang mendapat 270 daripada 538 undi elektoral akan diisytiharkan menang.
Trump berkata, beliau akan meminta Mahkamah Agung untuk memastikan integriti pilihan raya dan mencegah sebarang undi datang setelah tempat mengundi ditutup.
“Kami akan pergi ke Mahkamah Agung AS. Kami ingin semua pengundian dihentikan. Kami tidak mahu mereka mencari kertas undi pada pukul 4 pagi dan menambahkannya ke dalam senarai,” kata Trump.
Sebelum itu melalui akaun Twitternya, Trump menuduh Demokrat cuba merampas keputusan pilihan raya.
‘’Kami tidak akan pernah biarkan mereka lakukannya.Undi tidak dapat diberikan setelah undian ditutup,’’ katanya.
Sementara itu sebelum Trump berucap, Biden berkata, beliau berada di landasan yang betul untuk memenangi pilihan raya.
“Saya di sini untuk memberi tahu anda bahwa kami berada di landasan yang betul untuk menang pilihan raya ini. Kita harus bersabar sehingga pengiraan undi selesai. Semua ini belum berakhir sehinggalah setiap kertas undi dikira,” katanya.