27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Polis tahan pendakwah selebriti didakwa rogol gadis

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pendakwah selebriti bagi membantu siasatan atas tuduhan merogol seorang gadis pada tahun lalu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia 25 tahun ditahan selepas hadir ke balai memberi keterangan.

Katanya, sebelum itu mangsa memfailkan laporan polis mengenai kejadian tersebut sekitar pukul 7.18 malam tadi.

“Difahamkan, mangsa berusia 23 tahun keluar dengan suspek yang dikenali menerusi media sosial Instagram kira-kira pukul 8 malam pada 11 September tahun lalu.

“Mangsa menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.

“Suspek seterusnya membawa mangsa makan di kedai makan di Batu 3, Shah Alam dan kemudian ke rumahnya iaitu sebuah studio di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penerangan berhubung bagaimana hendak pulih daripada penyakit kemurungan,” katanya, yang dipetik Malaysiakini.

Ketika berada di rumah berkenaan, Baharudin berkata, mangsa dirogol dan tidak berdaya untuk melawan selain mangsa juga tidak tahu cara keluar dari tempat terbabit.

“Keesokan harinya, suspek bertindak menghantar mangsa ke lobi dan mangsa menaiki kenderaan pulang ke rumah sewanya di Subang Jaya menggunakan perkhidmatan e-hailing atau Grab.

“Mangsa yang mengalami tekanan perasaan yang teruk kemudian dimasukkan ke Hospital Kajang serta dirujuk ke rawatan psikiatri dan perlu rawatan susulan pada 23 September tahun lalu,” katanya.

Baharudin berkata, pada Oktober tahun lalu, mangsa pulang ke rumah keluarganya di Triang, Pahang dan mendapatkan rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

Katanya, mangsa juga ditahan selama lima hari di wad psikiatri.

Menurutnya, pihak hospital berkata mangsa mengalami tekanan perasaan serta trauma akibat dari kejadian tersebut dan masih menerima rawatan susulan.

Baharudin memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Jelasnya lagi, polis akan memohon perintah penahanan reman untuk suspek daripada mahkamah Shah Alam pagi ini.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan