28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Berbaloikah untuk Muhyiddin bekerjasama dengan Dr. Mahathir?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

PENULIS akui ‘cukup kagum’ dengan Tun Dr.Mahathir Mohamad kerana dalam usia 95 tahun dan memimpin parti yang belum pun didaftarkan serta mempunyai hanya empat ahli Parlimen termasuk beliau, bekas Perdana Menteri itu masih ada hati untuk meletakkan syarat jika ada pihak mahu mempertemukan beliau dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terbaru, Dr. Mahathir ‘mengamuk’ apabila usaha beliau untuk menggagalkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat terbantut apabila pembangkang gagal mencapai kata sepakat untuk memberi laluan kepada pengundian belah bahagi yang mungkin akan menyebabkan belanjawan tersebut tidak diluluskan, sekaligus menjatuhkan Kerajan Perikatan Nasional (PN).

Walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada kerajaan supaya jangan meraikan kemenangan terlalu awal kerana belanjawan tersebut masih boleh ditolak di peringkat jawatankuasa jika ia masih tidak memenuhi asprirasi rakyat namun ia tetap tamparan kepada Dr. Mahathir.

Justeru, Dr. Mahathir bagaikan tidak boleh mengawal kemarahan dan kekecewaannya apabila beberapa jam selepas Belanjawan 2021 diluluskan, Ahli Parlimen Langkawi itu membidas ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong undi belah bahagi apabila menyatakan;

“Kerajaan yang didirikan melalui rasuah dan sogokan pada Ahli Parlimen dan kerajaan yang korup boleh pula disokong oleh Ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikitpun berasa bersalah kerana memungkiri janji kepada rakyat.”

Itulah Dr. Mahathir yang sentiasa sahaja dilihat mahu orang lain mesti mengikut gerakan politik dan syaratnya biarpun tindakan beliau sendiri kadangkala bertentangan dengan apa yang beliau cakap.

Contohnya dalam soal berbaik dan bekerjasama dengan Muhyiddin. Kata Dr. Mahathir, beliau setuju untuk bekerjasama semula seandainya syarat-syarat tertentu boleh dipenuhi. Beliau bertegas tidak mahu bekerjasama dengan pemimpin UMNO yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah.

“Saya dapati gabungan itu terdapat UMNO dengan semua enam orang penjenayah semua tu. Jadi saya tak mahulah dapat sokongan daripada enam orang ini kita harus ingat kalau menangpun, enam orang ini kalau dia pergi ke tempat lain jatuh juga kerajaan,” hujah Dr. Mahathir.

Untuk rekod, hanya bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didapati bersalah tetapi beliau kini dalam proses rayuan manakala lima lagi masih di peringkat perbicaraan.

Persoalannya adakah pemikiran atau syarat yang sama dibuat oleh Dr. Mahathir ketika bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu?

Dr. Mahathir Mohamad bersama Anwar Ibrahim selepas mesyuarat Pakatan Harapan tidak lama dahulu.

Masihkah kita ingat bagaimana Dr. Mahathir ‘terhengeh-hengeh’ sanggup ke mahkamah untuk berjumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencapai kesepakatan untuk bekerjasama bagi menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Najib.

Ketika itu Anwar sedang menjalani hukuman penjara sebelum mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong apabila PH menang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Kenapa ketika itu Dr. Mahathir tidak menganggap Anwar sebagai banduan? Kenapa ketika itu beliau sanggup melupakan segala penghinaan dan kecaman yang beliau lemparkan kepada Anwar sewaktu memecat Ahli Parlimen Port Dickson itu daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri atas alasan moral?

Begitu juga apabila beliau menubuhkan kerajaan bersama PH, bersih sangatkah pemimpin-pemimpin pakatan itu yang ada antara mereka digugurkan kes biarpun masih dalam perbicaraa? Kenapa ketika itu Dr. Mahathir tidak bercakap soal seseorang pemimpin itu bukan sahaja perlu bersih tetapi mesti nampak bersih?

Kenapakah Dr. Mahathir tidak meletakkan syarat ketika mahu bekerjasama dengan PH termasuk DAP? Kenapa pula bila mahu berbaik dengan pemimpin Melayu seperti Muhyiddin macam-macam syarat mahu diletakkan?

Advertisements

Dr. Mahathir kononnya begitu tegas hanya mahu bekerjasama dengan orang yang benar-benar bersih tidak mempunyai apa-apapun rekod mahkamah. Bukankah dalam kalangan pemimpin DAP ada yang akan dibicarakan di mahkamah?

Kenapa Dr. Mahathir bersedia mempertahankan Lim Guan Eng dengan menganggap tuduhan ke atas Setiausaha Agung DAP itu bermotif politik? Sepatutnya biarlah proses mahkamah menentukan kebenarannya.

Sedangkan kalau melibatkan pemimpin UMNO, walaupun masih dalam siasatan atau perbicaraan, Dr. Mahathir sudah mencanang mereka sebagai pemimpin korup atau penjenayah.

Apapun soalnya, siapa Dr. Mahathir yang mahu meletakkan syarat untuk bekerjasama dengan Muhyiddin?

Lupakah Dr. Mahathir, beliau bukanlah Perdana Menteri, beliau bukan lagi menjadi ‘bos besar’ dalam PH, tetapi hanya seorang bekas Perdana Menteri dan seorang Ahli Parlimen yang mengetuai satu parti kecil yang belum lagi diluluskan pendaftarannya malah ahlinya pun kita tidak tahu berapa ramai.

Sebagai seorang yang berada di penghujung usia dan karier, Dr. Mahathir sepatutnya berusaha untuk menyatukan orang Melayu dan membantu kerajaan Melayu yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Lagi pula semua orang tahu Dr. Mahathir hanya bermusuh dengan Najib sahaja dan tidak boleh menerima hakikat Muhyiddin bekerjasama dengan UMNO atas alasan UMNO parti korup.

Kalau Dr. Mahathir benar-benar mahu mengekalkan prinsip hanya ingin bekerjasama dengan kelompok yang bersih dan tidak ada apa-apa rekod, beliau tidak sepatutnya bekerjasama dengan PKR dan DAP yang kita tahu antara mereka pun ada bermacam-macam rekod dan cerita.

Tetapi sekarang Dr. Mahathir pun semakin dipinggirkan oleh pemimpin-pemimpin PH. Ada dalam kalangan pemimpin DAP yang secara terbuka mengecam Dr. Mahathir sebagai punca kejatuhan PH.

Namun Dr. Mahathir tidak mengaku sebaliknya menuding jari kepada Muhyiddin yang didakwa sanggup bersekongkol dengan pemimpin UMNO yang rasuah bagi menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Oleh itu tidak payahlah Dr. Mahathir mahu terus dianggap angkuh dan ego seolah-olah beliau kini masih pemimpin besar yang digeruni oleh kawan dan lawan.

Dr. Mahathir perlu insaf dan belajar untuk bermuhasabah, beliau sudah tidak ada apa-apa lagi kekuatan politik.

Jadi tidak berbaloi untuk Muhyiddin mematuhi segala syarat Dr. Mahathir dan tidak berbaloi bagi PN berusaha mendapat sokongan bekas Perdana Menteri itu.

Apa yang berlaku sepanjang beliau berkawan dengan Anwar, DAP dan PH sudah menjadi bukti kecelaruan politik bekas Perdana Menteri itu.

Beliau sudah jatuhkan Kerajaan BN dan beliau dikatakan menjadi penyebab Kerajaan PH tumbang apabila meletak jawatan Perdana Menteri, justeru tidak mustahil kalau beliau bekerjasama dengan Muhyiddin, Kerajaan PN pula porak peranda.

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan