25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PDRM kerah anggota, aset tambahan perkukuh kawalan sempadan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kenderaan perisai tambahan dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan digerakkan mulai hari ini ke sempadan Malaysia-Thailand bagi mengukuh kawalan sempadan negara.

ABDUL HAMID BADOR

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ini berikutan insiden kedua serangan penyeludup terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan negara pada petang semalam, susulan serangan pertama sehari sebelumnya menyebabkan seorang anggota PGA terbunuh manakala seorang lagi cedera parah. 

Menurutnya, pasukan operasi daripada JSJ dan JSJN serta Unit Komando 69 itu digerakkan ke kawasan sempadan bagi melumpuhkan pergerakan kumpulan penyeludup.

“Tindakan pantas Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah dengan polis Kedah merampas lebih 100 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM10 juta pada petang semalam,” katanya yang dipetik Bernama, hari ini.

Abdul Hamid pada masa sama menyatakan rasa bangganya terhadap anggota PGA yang terus bersemangat dalam melaksanakan tugas walaupun berhadapan dengan serangan penyeludup.

Serangan itu tambahnya tidak melunturkan semangat pegawai dan anggota PGA yang bertugas di kawasan sempadan

Seorang anggota PGA cedera ringan semalam selepas terkena tembakan ketika menjalankan rondaan bersama seorang anggota lain di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah dalam kejadian pada kira-kira 6.15 petang itu.

Berikutan serangan itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, PGA yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia -Thailand akan menukar strategi dan sistem rondaan di kawasan terbabit untuk mengekang sebarang kegiatan penyeludupan.

Perubahan strategi itu perlu kerana sejak kebelakangan ini, sering berlaku kejadian tembakan sehingga mencederakan anggota pasukan berkenaan.

Selain itu, semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang melaksanakan Op Benteng mempertimbangkan untuk menambah bilangan anggota di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan melibatkan pelbagai agensi.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang yang senada dengan langkah itu berkata, ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan selain penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara.

Dalam kejadian pertama pada pukul 3.10 pagi Selasa, anggota PGA Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan a/l Tari, 39, parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis. 

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan