25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Malaysia diberi keutamaan terima vaksin Covid-19 China – Duta

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Malaysia telah disenaraikan sebagai negara yang akan diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19 keluaran China yang bakal diedarkan tidak berapa lama lagi. 

Jaminan itu dinyatakan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Bai Tian semasa mengadakan kunjungan perpisahan di pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Di bangunan Parlimen, semalam.

Menurut Perdana Menteri, China menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia yang sentiasa memberi sokongan dalam pelbagai aspek kepada negara itu, khususnya ketika pandemik Covid-19 melanda Wuhan awal tahun ini. 

Katanya, Bai Tian menganggap Malaysia sebagai negara sahabat sangat akrab yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan ketika China berdepan musibah. 

“Sehubungan itu,  Bai Tian menyatakan Malaysia telah disenaraikan sebagai negara yang akan diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19 keluaran China yang bakal diedarkan tidak berapa lama lagi. 

“Saya telah sampaikan penghargaan Malaysia atas komitmen yang dibuat oleh kerajaan China itu,” tulis Muhyiddin dalam hantaran Facebook hari ini.

Bai Tian akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia  pada 27 November ini selepas tiga tahun berkhidmat.

Muhyiddin memberitahu, pada pertemuan itu, beliau telah menyatakan penghargaan Kerajaan atas sumbangannya dalam mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-China, yang kini berada pada tahap sangat tinggi sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 1974.

Kata Perdana Menteri, China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar selama 11 tahun berturut-turut dengan nilai dagangan tahun lepas merekodkan sebanyak RM315.19 billion. 

Jelasnya,  nilai pelaburan China di Malaysia adalah berjumlah RM18.25 billion pada 2019 menjadikan negara itu sebagai sumber pelaburan langsung asing ke-10 terbesar di Malaysia. 

“Saya nyatakan bahawa Malaysia sentiasa mengalu-alukan lebih banyak syarikat dari China menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan untuk melabur, terutamanya di sektor industri berteknologi tinggi,” katanya.

Selain itu, Bai Tian turut menyampaikan ucapan tahniah Kerajaan Republik itu atas kejayaan Malaysia menganjurkan sidang APEC pada tahun ini yang menyaksikan pengisytiharan Deklarasi Kuala Lumpur serta pelancaran Visi Putrajaya 2040.

Tambah beliau,  ia bakal menjadi aspirasi kepada pertumbuhan komuniti Ekonomi APEC untuk 20 tahun akan datang. 

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan