34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

8 juta pencarum KWSP dibenar keluar Akaun 1

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersetuju melonggarkan syarat kelayakan pencarum untuk membuat pengeluaran Akaun 1 menerusi skim i-Sinar sekali gus melayakkan lapan juta ahli untuk berbuat demikian.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kelonggaran itu diberi tanpa mengira sama ada pencarum terbabit terjejas pendapatan akibat hilang pekerjaan atau pekerja yang mengalami pengurangan pendapatan.

Katanya, syarat baharu itu turut merangkumi semua pencarum dalam sektor pekerjaan formal dan bekerja sendiri atau masih aktif mencarum atau sebaliknya.

“Selagi terjejas pendapatan dengan ketara, bolehlah mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP.

“Dari dua juta ahli yang layak sebelum ini, i-Sinar kini kita buka kepada lebih lapan juta ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul turut mengumumkan, mereka yang sebelum ini hanya dibenarkan mengeluarkan maksimum RM9,000 ini dibenarkan membuat pengeluaran sehingga RM10,000. 

Beliau berkata, kerajaan terus peka dan mendengar semua rungutan ahli dan cetusan pendapat daripada kalangan Ahli Parlimen mengenai syarat yang terlalu ketat.

Setiap langkah melibatkan pengeluaran KWSP perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab kerana amanah yang dipikul adalah untuk semua ahli, baik mereka yang mahu mengeluarkan dan juga bagi ahli yang tidak mahu.

“Akhirnya, adalah tanggungjawab kerajaan untuk mencari titik keseimbangan di antara keperluan pengeluaran hari ini dengan keselamatan persaraan untuk hari esok.

“Majoriti caruman KWSP akan dilaburkan ke dalam instrumen pelaburan jangka panjang dan bukan dalam bentuk tunai.

“Oleh sebab itu, setiap pengeluaran luar jangka seperti ini memerlukan perincian dan pertimbangan yang rapi.

“Segala isu berkaitan Akaun 1 KWSP berbalik kepada mencari satu titik keseimbangan di antara pengeluaran untuk kelangsungan hidup hari ini dan menjamin kesejahteraan persaraan masa hadapan,” katanya.

Program i-Sinar sebelum ini hanya membenarkan pengeluaran oleh kira-kira dua juta pencarum dengan had maksimum pengeluaran RM9,000, bergantung kepada baki caruman di dalam Akaun 1.

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan