KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khasnya petugas barisan hadapan (frontliners) berniat untuk berkhidmat kerana Allah SWT.
Tan Sri Dr Noor Hisham menerusi ciapannya malam tadi turut menyertakan sepotong ayat daripada Surah Ali Imran yang membawa maksud, ‘setiap yang hidup, pasti akan merasai mati’.

Beliau turut menyambung ciapannya dengan sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah yang memberi maksud, ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, kepada Allah jualah kami kembali’.
“Saya menyeru kepada semua frontliners pastikan kita pasangkan niat, nawaitu kita berkhidmat kerana Allah SWT. Semoga dipermudahkan, kita berusaha & bertawakkal kepada Allah. Ajal maut kita Allah yang tentukan,” tulisnya.
Ciapan itu dipercayai ada kaitan dengan kenyataan dibuat oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menyifatkan Dr Noor Hisham ‘takut mati’ kerana tidak hadir sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19 di negeri itu.
Dalam reaksinya berikutan kenyataan King Sing, Dr Noor Hisham berkata, setiap yang bernyawa pasti merasai mati’, sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nya kami kembali.
Jelasnya, sebagai orang Islam beliau menerima kematian itu di mana-mana sahaja, dan berlaku bukan hanya ketika ‘turun padang’ (merujuk Sabah) atau tidak.
“Jadi, apa yang penting ialah kita pasangkan niat untuk melaksanakan tugas kita dan niat kita ialah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara kita.
“Ini ialah tujuan utama. Kita boleh selisih pendapat tetapi yang pasti apa kita laksanakan ialah untuk memutuskan jangkitan Covid-19 supaya kita dapat selamatkan negara kita daripada peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kadar kematian,” tambahnya. – Edisi 9