29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Noor Hisham sudah buat yang terbaik, tak timbul soal takut mati

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh DATUK DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SAYA terdetik untuk mengulas ringkas kenyataan seorang Ahli Parlimen yang menyatakan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebagai ‘takut mati’.

Saya amat berharap, itu bukan maksud sebenar beliau. Mungkin ada penjelasan lanjut daripada beliau. Pun begitu, pandangan saya ini adalah untuk renungan bersama.

KP Kesihatan sudah buat yang terbaik, sesuai dengan posisi beliau. Jawapan beliau terhadap kenyataan tersebut dalam sesi sidang media petang tadi (semalam) pun sudah padat dan memadai.

Saya cuma ingin menambah noktah penting, sebagai kefahaman semua yang membaca dan ikut isu ini.

KP Kesihatan adalah antara individu terpenting dalam usaha memerangi pandemik Covid-19. Saya yakin, kita semua bersetuju bahawa beliau perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang bersama-sama semua barisan hadapan dan maslahah negara.

Saya teringat sebuah kisah berkaitan Sahabat Nabi SAW, Abu Ayyub al-Ansari R.A. Diriwayatkan ketika tentera Muslim berperang dengan rangka menawan Kota Konstantinopel, mereka berhadapan dengan jumlah tentera Rom yang amat ramai.

Ada dalam kalangan tentera Muslim itu, seorang pahlawan yang menawarkan diri untuk menyusup masuk bersendirian dalam pasukan tentera Rom walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh.

Advertisements

Lalu orang ramai mengatakan, ‘’Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam al-Quran, ”Jangan kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan?”.

Kebetulan Abu Ayyub al-Ansari yang menjangkau umur 80 tahun ketika itu (juga termasuk dalam tentera Muslim) terdengar ayat al-Quran itu digunakan untuk menghalang pahlawan tersebut.

Beliau berang dan menyatakan bahawa ayat itu diturunkan sebagai teguran kepada golongan Ansar yang segelintirnya mula berfikir untuk meninggalkan jihad dan balik ke kampung halaman untuk bercucuk tanam, kumpul harta. Ini kerana telah banyak siri kemenangan Islam dalam peperangan yang dilalui.

Lalu turunlah peringatan Allah SWT; “Janganlah kamu mencampakkan diri kami ke dalam kebinasaan (surah al-Baqarah ayat 195)

Kisah ini sentiasa tersemat di hati saya dan menjadi pegangan hidup saya. Sekali kita berjuang, menegakkan prinsip dan kebenaran, apatah lagi perjuangan untuk keselamatan dan keamanan negara, kita tidak akan berundur!

Saya percaya, itulah semangat KP Kesihatan, jua seluruh barisan hadapan. Tak ada apa-apa yang boleh mengganggu fokus kita dalam usaha ini, justeru tidak timbul isu ‘takut mati’.

Konsep kematian dalam Islam amat mudah.Kami yakin kematian menjengah bila-bila masa. Hanya Allah SWT sahaja yang hidup kekal dan tidak mati. Hanya Dia Yang Maha Esa Lagi Maha Perkasa Yang Kekal Abadi. Muslim tidak takut mati tetapi kami sentiasa digalakkan untuk mengingati mati.

Apa yang kami risau dan takutkan adalah adakah amalan kami cukup untuk menjadi bekalan bertemu pencipta kita semua di alam sana? Kerana itulah Muslim yang sebenar, mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia’’ (Riwayat Ahmad).

Moga kita menjadi insan yang sentiasa memberi manfaat kepada yang lain.”

  • Penulis adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Tulisan ini dipetik daripada ciapan dalam Twitter beliau.
Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan