34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Belanjawan 2021: BN jangan sampai terikut rentak PH

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHAMAD ASRI

SEPERTI dijangka perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat sejak beberapa hari lalu berkisar kepada isu pengeluaran caruman Akaun 1, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium secara automatik selain peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Isu pengeluaran wang Akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium menjadi tumpuan kerana dua perkara ini sudah dibahas, dibincang dan diperkatakan secara meluas oleh orang ramai dalam pelbagai platform media sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan lagi.

Rentetan daripada itu kerajaan dalam Belanjawan 2021 meluluskan pengeluaran caruman Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan. Pencarum yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000.

Mengenai moratorium pula kerajaan membenarkan golongan kategori B40 yang menghadapi masalah untuk membayar pinjaman memilih moratorium tiga bulan atau mengurangkan pembayaran ansuran bulanan mereka sebanyak separuh selama enam bulan mulai Disember 2020.

Belanjawan yang dibentangkan merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan rakyat bagaimanapun masih belum dapat memuaskan hati semua pihak.

Itu perkara biasa. Belanjawan mana-mana negara sekalipun  belum tentu dapat  memuaskan hati semua sesiapapun apatah lagi pembangkang. Ada sahaja yang tidak kena dan ada sahaja kekurangan sedikit sebanyak.  Bagaimanapun itu bukan alasan untuk menolak belanjawan.

Samalah seperti apa yang berlaku dalam perbahasan Belanjawan 2021. Segelintir Ahli Parlimen termasuk daripada blok kerajaan mula bermain politik menggunakan `ruang berbahas’ di Dewan Rakyat. 

Pada awalnya nampak seperti ikhlas berbahas tetapi lama kelamaan mula keluar perkataan-perkataan bernada `ugutan.’ Ini tidak sepatutnya berlaku kerana setiap Ahli Parlimen diberi ruang untuk berbahas dan memberikan pandangan. 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng Lim sebagai contoh awal-awal lagi sudah memberi amaran tidak akan menyokong belanjawan ini sekiranya enam tuntutan mereka tidak dipenuhi. 

Mengenali Anwar dan Guan Eng, yang sudah berpuluh tahun dibelenggu `pemikiran pembangkang’ ini bukan kali pertama mereka tidak bersetuju dengan belanjawan negara. 

Bagaimanapun tindakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang seolah-olah turut terikut-ikut dengan rentak Anwar  yang secara terbuka menegaskan sokongan BN terhadap belanjawan kali ini adalah sokongan bersyarat, dilihat sedikit janggal walaupun tidak mengejutkan   mengambil kira ‘sejarah hubungan’ beliau dengan Anwar baru-baru ini.

Najib menuntut supaya kerajaan membenarkan lanjutan moratorium selama enam bulan dan pengeluaran one-off sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 dan sokongan BN tertakluk kepada keputusan dua perkara tersebut.

Tindakan Najib ini tidak mengejutkan kerana sebelum ini beliau pernah mencadangkan kerjasama bersyarat dengan Presiden PKR itu. Malah beliau dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi sebelum itu didakwa secara diam-diam mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pelantikan menyokong  Anwar sebagai Perdana Menteri.

Apa yang dilakukan itu jelas tidak menghormati persepakatan yang telah dicapai oleh parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk UMNO. Majlis Tertinggi UMNO sendiri sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan akan terus menyokong kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Lebih mendukacitakan, tindakan sedemikian jelas membelakangkan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong agar ahli-ahli politik  menghentikan segera politiking yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Dalam titah Seri Paduka pada 25 Oktober lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan tiada keperluan untuk ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu-gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Seri Paduka turut menegaskan Belanjawan Negara 2021 amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Jika Belanjawan 2021 tidak disokong atau digagalkan kesannya sangat besar kepada negara terutama dalam aspek perancangan kerajaan untuk tahun hadapan. 

Kerajaan sudah pasti berhadapan dengan kesukaran dalam merancang pembangunan, memulihkan ekonomi, mengawal pandemik Covid-19,  menjaga kebajikan golongan miskin dan tidak bernasib baik khususnya kumpulan B40 dan M40.

Peruntukan menjangkau RM322.5 bilion itu amat dinanti-nantikan dan perlu diluluskan segera agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 . 

Sepatah kata Perdana Menteri : “Rakyat akan teraniaya jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.”

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan