31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Malaysia tambah 10 penerbangan baharu, sewa khas dari China

Mesti Baca

MALAYSIA menambah sekurang-kurangnya 10 penerbangan baharu dan sewa khas dari pelbagai wilayah di China bagi tahun ini sekali gus bakal melonjakkan jumlah pelancong dari negara itu ke sini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pada masa kini Malaysia menyediakan enam penerbangan sewa khas iaitu FireFly melibatkan laluan dari Nanjing-Tawau yang bermula 31 Januari lalu.

Penerbangan sewa khas lain ialah Batik Air untuk laluan Chengdu-Langkawi, Zhengzhou-Kuala Lumpur, Chongqing-Langkawi dan Xian-Kuala Lumpur yang memulakan penerbangan pada 5, 9, 10 dan 11 Februari.

“Bagi tahun 2024, Malaysia juga akan menerima beberapa laluan baharu oleh syarikat penerbangan tempatan dan luar negara antaranya China Eastern Airlines bagi laluan Beijing-Kuala Lumpur sebanyak empat kali seminggu bermula 31 Januari lalu.

“Loong Air laluan Hangzhou-Kuala Lumpur (tiga kali seminggu bermula 1 Februari), Batik Air laluan Kunming-Kuala Lumpur (empat kali seminggu bermula 9 Februari) dan seterusnya Batik Air laluan Zhangjiajie-Kuala Lumpur (tiga kali seminggu bermula 18 Februari),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, King Sing bersama wakil Malaysia Airlines dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyambut ketibaan penerbangan sewa khas Malaysia Airlines dari Shenyang, China di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Advertisements

Penerbangan sewa khas MH8827 itu membawa 287 penumpang menggunakan pesawat Airbus 330 dari bandar raya Shenyang iaitu ibu negeri wilayah Liaoning, timur laut China.

Penerbangan tersebut antara laluan baharu dan penerbangan khas dari China sempena Tahun Baharu Cina dan cuti musim panas yang bermula bulan lalu.

King Sing berkata, langkah Malaysia memberikan visa percuma kepada pengembara dari China sejak 1 Disember lalu telah menyebabkan pertambahan pertanyaan dan tempahan ke Malaysia dari negara tersebut.

Katanya, Trip.com melaporkan Malaysia akan menerima lonjakan 53.9 peratus pelancong bagi cuti Tahun Baharu Cina tahun ini berbanding tahun 2023 lalu.

“Pada 2023, Malaysia menyambut kedatangan 1.47 juta orang dari China iaitu lonjakan sehingga 593.4 peratus berbanding 212,603 orang bagi tempoh yang sama pada 2022,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan