25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

78 usahawan MyAP berjaya hasilkan pengeluaran RM22.9 juta

Mesti Baca

USAHAWAN MyAgropreneur Perikanan (MyAP) telah berjaya mencatatkan pengeluaran sebanyak RM22.9 juta dengan 78 usahawan sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah itu meningkat berbanding sebanyak RM15.5 juta dengan 72 usahawan pada 2022.

Beliau berkata, penubuhan MyAP di bawah jabatan itu telah membantu golongan sasar untuk menaik taraf kehidupan mereka di samping turut merancakkan ekonomi negara.

Beliau berkata, menerusi program tersebut Jabatan Perikanan bukan sahaja membantu komuniti perikanan meneroka pelbagai peluang perniagaan berdasarkan sumber perikanan.

Malahan, katanya, pihaknya juga turut membantu dari aspek pemasaran produk usahawan melalui karnival usahawan perikanan, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) dan pelbagai platform promosi lain.

“Ini merupakan usaha komited jabatan bagi membantu mereka menjual dan memasarkan produk mereka kepada lebih banyak pelanggan, termasuk restoran, pasar tempatan juga pembeli luar negeri.

“Usahawan MyAP turut mendapat sokongan teknikal dari Jabatan Perikanan Malaysia dalam pengurusan dan operasi perniagaan mereka.

“Sokongan ini termasuklah pemantauan kualiti produk, penguatkuasaan undang-undang perikanan dan penyelesaian masalah yang berkaitan dengan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Sebelum itu beliau mengiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melawat Projek Industri Asas Tani (IAT) Keropok House & Industry Sdn Bhd di Kota Raja, Shah Alam hari ini.

Adnan berkata, usahawan MyAP juga disaran berpegang kepada pelaksanaan dan pembudayaan Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang telah diberi penekanan oleh menteri sebelum ini.

Katanya, perkara itu penting bagi melonjakkan produktiviti usahawan, kelangsungan sektor agromakanan negara dan seterusnya bagi memastikan keperluan semasa dapat dipenuhi.

Mengenai Keropok House & Industry, Adnan berkata, syarikat itu mula mengusahakan keropok lekor sejak 23 tahun lalu di bawah program usahawan MyAP dan bimbingan Jabatan Perikatan Negeri Selangor.

Katanya, sehingga kini syarikat yang menjalankan perusahaan memperoses produk berasaskan ikan itu telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa ke Australia, Singapura dan Brunei.

“Keropok House & Industry Sdn Bhd menerima bantuan dari jabatan pada 2016 dan 2022 melalui bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Pengembangan (SPEKS) sebanyak RM43,500 bagi mempertingkatkan hasil produk yang dipasarkan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat milik Bumiputera itu juga telah memperolehi pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), kualiti dan mutu produk keluaran syarikat turut diperlengkap dengan penerimaan pensijilan Good Manufacturing Practise (GMP) dan pensijilan Halal. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Jangan terjebak perjudian perhubungan cinta ekspres

Oleh DR NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK DALAM era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu...

Lagi Artikel Berkaitan