KERAJAAN bersetuju melonggarkan dasar kemasukan pelancong dari China dan India berdasarkan syarat-syarat baharu kemudahan Visa Ketibaan (VOA) berkuatkuasa 15 Oktober lalu.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, keputusan itu dicapai setelah pihaknya mengadakan perundingan dan perbincangan rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut beliau, di bawah syarat tersebut, kerajaan membenarkan warganegara China dan India yang menaiki penerbangan sewa khas (chartered direct flight) boleh memohon kemudahan VOA.
Bagaimanapun, katanya, penerbangan sewa khas itu perlulah melalui agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC dari negara China dan India.
Selain itu, beliau berkata, agensi pelancongan yang menguruskan permohonan pelawat perlu bertanggungjawab untuk memastikan pelawat keluar daripada negara ini dalam tempoh ditetapkan.
“Agensi pelancongan juga perlu memastikan pelawat yang menaiki penerbangan sewa khas dari negara China dan India mengemukakan maklumat dokumen perjalanan dan senarai ketibaan (list of arrival) dengan lebih awal kepada JIM (Jabatan Imigresen) untuk tujuan semakan dan penyelarasan di pintu masuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
King Sing berkata, para pelancong terbabit perlu mengekalkan tempoh keberadaan selama 15 hari dan wajib menunjukkan tiket penerbangan pergi balik dan dokumen tempahan hotel sepanjang berada di Malaysia.
Permohonan kemudahan VOA juga tegas beliau, adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang sedia ada.
Beliau berkata, pada masa ini kemudahan tersebut hanya hanya melibatkan penerbangan sewa khas dan prosedur permohonan telah dipermudahkan.
Katanya, pelancong boleh menghantar maklumat peribadi mereka melalui sistem Jabatan Imigresen sebelum tiba di Malaysia untuk mendapatkan kemudahan VOA ini.
“MOTAC akan terus berbincang dengan KDN untuk memperluaskan skop kemudahan VOA ini.
“Matlamatnya adalah untuk membolehkan pelancong yang tidak menggunakan penerbangan sewa khas juga dapat menikmati kemudahan VOA, supaya proses kemasukan pelancong antarabangsa lebih lancar,” katanya.
King Sing berkata, MOTAC juga telah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk mempermudahkan kemasukan pelawat serta pelabur dari China dan India ke Malaysia.
Sebelum ini, kemudahan VOA hanya tersedia untuk warganegara China dan India yang masuk ke Malaysia melalui negara ketiga iaitu Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei sahaja dengan syarat mereka memegang visa yang sah dari negara-negara yang berkaitan.
Beliau berharap lebih ramai pelancong serta pelabur dari China dan India datang ke Malaysia, seterusnya dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan memberi manfaat kepada rakyat. – Edisi 9