24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Cadangan KWSP, moratorium bukan untuk populis tetapi strategi ekonomi – Najib

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, cadangan beliau supaya kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium bank adalah sebagai strategi ekonomi.

Bekas perdana menteri itu mendakwa, ada pihak yang tuduh cadangan KWSP RM10,000 dan lanjutan moratorium pinjaman bank cuma sekadar permainan populis yang membuatkan beliau nampak macam hero.

Sehubungan itu katanya, beliau bertanyakan satu soalan yang agak mudah kepada pihak yang beranggapan usahanya adalah satu permainan populis.

“Jika bajet 2019 sebanyak RM314.5 bilion tidak dapat selamatkan ekonomi pada tahun tiada krisis Covid, bagaimana pula bajet 2021 sebanyak RM322.5 bilion (RM8 bilion atau cuma 2.5 peratus lebih tinggi) mampu menyelamatkan negara semasa krisis Covid melanda seluruh negara dan dunia?

“Jawab soalan itu sahaja,” tulis Najib dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan, langkah pengeluaran KWSP RM10,000 dan lanjutan moratorium adalah langkah untuk menambah dana ke dalam kitaran ekonomi  demi merancakkan ekonomi negara.

Langkah itu katanya tidak memberi impak kepada saiz bajet dan defisit negara di samping memberi sedikit ruang kelegaan kepada mereka yang paling terdesak.

“Ini bukan populis. Ini strategi ekonomi,” jelas Najib.

Dalam satu lagi hantaran berasingan, Najib berkata, ada juga pihak yang kata cadangan pengeluaran RM10,000 KWSP ini tidak praktikal, sukar atau mustahil untuk dilaksanakan.

Menurutnya, semalam, beliau telah beritahu Dewan Rakyat bagaimana untuk melakukannya tanpa memberi impak kepada bajet/defisit kerajaan atau kepada KWSP.

“Saya cadang Bank Negara Malaysia (BNM) terus membeli bon kerajaan bernilai RM40 bilion yang dipegang KWSP supaya ianya tidak memberi impak mengejut kepada pasaran bon tempatan supaya KWSP ada aliran tunai untuk membayar mereka yang mohon pengeluaran RM10,000 itu.

“Ini adalah dibenarkan di bawah undang-undang negara dan termaktub dalam mandat BNM.

Advertisements

“Lepas beli, BNM boleh jual semula RM40 bilion bon kerajaan ini kepada pasaran bon tempatan secara berperingkat jika BNM tak mahu pegang lama. Ini terpulang kepada BNM),” katanya.

Najib sementara itu mencadangkan, untuk memulihkan simpanan KWSP setelah krisis Covid selesai dan ekonomi Malaysia memulih, kerajaan boleh antaranya;

1) Kerajaan memberi projek lebih lumayan kepada KWSP sebagaimana dilakukan oleh kerajaan BN dahulu masa saya PM sehingga dividen tahunan KWSP menjadi paling tinggi sejak 20 tahun lalu.

2) Menaikkan semula kadar caruman KWSP bagi majikan dan pekerja.

3) Mengkaji semula struktur bayaran dividen di mana mereka yang mempunyai baki simpanan lebih rendah akan dibayar kadar dividen lebih tinggi.

“Okay. Langkah mana yang amat sukar atau mustahil untuk dijalankan?

a) Suruh BNM beli bon kerajaan dipegang KWSP?

b) Kerajaan beri projek lebih lumayan kepada KWSP?

c) Naikkan semula kadar caruman yang telah diturunkan sebelum ini?; atau

d) Mengkaji semula struktur dividen?

e) Kesemua di atas.

“Yang mana?,” tanya beliau.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan