29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Antara sokongan bersyarat BN dan persepsi politik

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

MENARIK juga apabila meneliti ucapan perbahasan Belanjawan 2021 oleh Ahli Parlimen Pas dari Pas Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan sokongan bersyarat Barisan Nasional (BN) terhadap belanjawan seperti dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.

Kata Ahmad Fadhli, ‘’Saya rasa ia seperti (hikayat) Puteri Gunung Ledang yang meminta Sultan Melaka membuat jambatan, hidangan nyamuk sekian-sekian namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan itu.’’

Ahmad Fadhli Shaari

Penulis bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Pasir Mas itu kerana Najib sepatutnya tidak mengaitkan soal sokongan BN dengan desakan parti itu.

Ia memandangkan seolah-olah Najib memberi kata dua kepada kerajaan sama ada laksanakan desakan tersebut atau berhadapan dengan penolakan BN untuk menyokong Belanjawan 2021.

Mungkin Najib dan BN benar-benar mahukan memastikan desakan mereka diterima tetapi jangan sampai dilihat atau dianggap mempunyai agenda politik memandangkan semua orang tahu jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tergugat.

Najib sepatutnya hanya mengemukakan desakan kerana UMNO sudah berjanji akan memastikan tuntutan mereka supaya moratorium dilanjutkan selama enam bulan dan membenarkan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya.

Penulis percaya, sejak Belanjawan 2021 dibentangkan pada 6 November lalu, kerajaan dan Kementerian Kewangan sudah pasti mendapat sedikit sebanyak maklum balas berhubung perkara berkenaan.

Oleh itu adalah lebih baik jika Najib hanya mengetengahkan desakan tanpa meletakkan syarat dalam soal sokongan kepada belanjawan berkenaan.

Kita bimbang jika semua pihak membuat syarat sedemikian ia boleh mewujudkan tanggapan bahawa seperti mana kata Ahmad Fadhli ‘’..ia bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan itu.’’

Oleh itu Najib perlu mengelak wujudnya sebarang persepsi politik termasuklah seperti mana dinyatakan oleh Ahmad Fadhli.

Apatah lagi Belanjawan 2021 juga dianggap penentu kepada kelangsungan Kerajaan Perikatan Nasional. Jika belanjawan ditolak kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berada dalam keadaan bahaya.

Tambahan pula, sudah wujud dakwaan kononnya ada gerakkan baru mengumpul akuan bersumpah dalam kalangan ahli Parlimen bagi membuktikan Perdana Menteri tiada sokongan majoriti di Parlimen.

Penulis cenderung untuk menyakini bahawa ia sekadar khabar angin atau cakap-cakap yang hanya bertujuan mengeruhkan suasana arena politik tanah air kerana tidak mungkin gerakkan seumpama itu wujud memandangkan kesemua ahli Parlimen sudah akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya mereka menghentikan sebarang politiking.

Lagipun tiada faedahnya gerakkan seumpama itu dilakukan kerana ia hanya akan menghuru-harakan negara yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Penulis yakin tiada Ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang akan membuat gerakkan itu. Kalau benarlah ada, sudah pasti orang akan menganggap ia tiada tujuan lain selain daripada atas kepentingan peribadi.

Apapun, kesimpulannya , penulis percaya sama ada Najib mahupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat penegasan dan desakan secara ikhlas bagi memastikan belanjawan itu benar-benar menepati usaha membela nasib rakyat.

Lagi pula mereka berhak melahirkan kekecewaan kerana selepas dipanggil untuk rundingan bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, cadangan yang mereka kemukakan bagaikan tidak dilayan atas sebab-sebab yang mungkin akan dijelaskan oleh Kementerian Kewangan ketika penggulungan nanti.

Namun penulis yakin Muhyiddin dan Kementerian Kewangan juga memahami perkara itu dan bersedia melakukan pindaan bagi memastikan belanjawan berkenaan diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara sekaligus akan menutup sebarang ruang yang boleh menyebabkan kedudukan Muhyiddin tergugat jika belanjawan ditolak. – ZULKIFLEE BAKAR

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan