26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Belanjawan 2021: Najib jangan buat tanggapan melulu

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHAMAD ASRI

BELANJAWAN 2021 berjumlah RM322.5 bilion yang dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat lalu merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Sejumlah RM236.5 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Proses penggubalan belanjawan tersebut dibuat secara terbuka dan inklusif dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk ahli-ahli politik kerajaan, pembangkang dan bebas.

Pendekatan ini menjadikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan pertama dalam sejarah Malaysia yang bersikap terbuka dalam mendapatkan input daripada semua pihak termasuk pihak pembangkang.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengambil inisiatif mengadakan beberapa siri pertemuan dengan sekurang-kurangnya 36 ahli politik daripada kerajaan dan pembangkang termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan), PKR, DAP, Amanah dan Ahli Parlimen Bebas.

Rakan-rakan PN dalam Barisan Nasional seperti UMNO, MCA, MIC juga dijemput selain Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ciapan Najib Tun Razak melalui Twitter beliau

Antara yang dijemput ialah Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian; Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor juga Ahli MT UMNO Datuk Dr. Zambry Abd Kadir

Turut dijemput ialah Wanita UMNO iaitu Ketua Wanita UMNO yang juga Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Timbalannya Datuk Norliza Abdul Rahim; Setiausaha Agung Wanita Datuk Rosni Sohar merangkap ADUN Hulu Bernam dan , Setiausaha Kerja Wanita, Zauyah Zainuddin.

Pemimpin-pemimpin parti komponen BN juga dipanggil untuk memberi pandangan antaranya Naib Presiden MCA Datuk Seri Yew Teong Look; Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Chong Sin Woon; Ketua Pemuda MCA Datuk Nicole Wong Siaw Ting; Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie dan Ahli Jawatankuasa Pusat dan Ahli Parlimen Tanjong Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng

Gabungan Parti Sarawak pula diwakili Datuk Aaron Ago Dagang daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) merangkap Timbalan Menteri Kesihatan II dan Ahli Parlimen Konawit dan AJK Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni.

Pas turut dijemput dan diwakili oleh Ketua Dewan Ulama Pas merangkap Ahli Parlimen Pasir Putih Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman; Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli; Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli bin Shaari.

Menteri Kewangan turut menjemput wakil daripada Parti Warisan iaitu Timbalan Presidennya merangkap Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Moyog, Datuk Darell Leiking,

Advertisements

Sementara wakil-wakil daripada Pakatan Harapan (PH) pula terdiri daripada Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merangkap Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu; Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen.

Parti Amanah Negara (PAN) pula diwakili oleh Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan ADUN Bukit Katil, Melaka Adly Zahari.

DAP pula diwakili oleh Ahli Parlimen Bagan yang juga ADUN Air Putih Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bangi Dr. Ong Kian Ming; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, dan Senator Liew Chin Tong.

Selain itu Menteri Kewangan turut menjemput wakil ahli-ahli Majlis Senator Malaysia iaitu Datuk Seri Khairuddin Samad (Presiden), Datuk Razali Idris (Timbalan Presiden) dan Manolan Mohamad (Ahli Jawatankuasa).

Belanjawan 2021 dibincang dengan terperinci sebelum diluluskan oleh Kabinet yang terdiri daripada menteri-menteri yang mewakili parti Bersatu, UMNO, Pas, MIC, MCA, PBS dan GPS.

Justeru tanggapan segelintir ahli politik termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak mendapat pandangan daripada pihak luar termasuk Ahli-ahli Parlimen BN adalah tidak tepat dan melulu.

Tidakkah menteri-menteri Kabinet daripada UMN0, MCA dan MIC itu mewakili BN? Bukankah Ahli-ahli Parlimen Pas juga ada dalam Kabinet kerajaan sekarang?

Wakil-wakil parti termasuk BN yang dijemput itu bukan sembarangan dan calang-calang. Mereka berpengalaman luas dan sebahagiannya pernah duduk dan memegang jawatan penting dalam parti dan Kabinet.

Mereka dihantar oleh parti masing-masing kerana pengetahuan, keupayaan dan kemampuan untuk memberi pandangan dan input kepada Menteri Kewangan.

Barangkali tidak semua pandangan dan input diterima, tetapi menganggap Ahli-ahli Parlimen BN dan Pas yang dipanggil itu sebagai tidak mempunyai pengetahuan tentang ekonomi dan kewangan adalah satu penghinaan kepada mereka.

Kesediaan dan keterbukaan Kerajaan PN menerima pandangan dalam penyediaan belanjawan ini sepatutnya dipuji.

Perkara ini tidak pernah sekalipun dibuat oleh kerajaan memerintah sebelum ini termasuk ketika BN dan PH dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Najib sendiri.

  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan