31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pelantikan Azmin ‘keruhkan lagi’ hubungan UMNO-Bersatu?

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ketika pelbagai pihak ‘panas’ memperkatakan mengenai Belanjawan 2021, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya gabungan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sudah pasti pelantikan itu dilihat akan ‘menjauhkan’ lagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada PN memandangkan sebelum ini pun UMNO dan BN dikatakan ‘tidak selesa’ apabila Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dilantik sebagai Menteri Kanan yang paling kanan akan menjalankan tugas Perdana Menteri jika Perdana Menteri tiada dalam negara.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan berkata, ketetapan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 9 November lalu.

‘’Majlis Tertinggi PN bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Badan Perhubungan Negeri PN bagi menyelaras aktiviti partti di peringkat negeri. Dalam hal ini Pengerusi PN akan melantik Pengerusi Badan Perhubungan Negeri yang akan memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat Badan Perhubungan Negeri,’’ katanya.

Pelantikan Mohamed Azmin dilakukan lima hari selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO.

Walaupun adalah menjadi hak PN untuk melantik Mohamed Azmin namun ia juga dilihat memberi isyarat gabungan itu khususnya Bersatu tidak berhasrat ‘menjaga hati’ UMNO dan BN.

Ia memandangkan mereka sudah pasti memahami sentimen khususnya UMNO terhadap Mohamed Azmin.

Dan mungkin juga UMNO tidak kisah dengan pelantikan tersebut kerana bukan lagi rahsia, biarpun bekerjasama dalam Kerajaan PN, hubungan antara UMNO dan Bersatu dilihat tidaklah begitu baik.

Pemimpin-pemimpin UMNO melihat parti itu sering sahaja ‘ditinggalkan’ dalam beberapa keputusan yang dibuat oleh Kerajaan PN.

Justeru itulah sudah ada pemimpin UMNO memberi isyarat yang jelas bahawa parti itu akan menentang ‘parti Bunga’ dalam PRU-15 nanti.

Advertisements

Malah persoalan juga timbul, kenapakah pelantikan tersebut dilakukan ketika Kerajaan PN memerlukan sokongan ahli-ahli Parlimen daripada UMNO untuk meluluskan Belanjawan 2021.

Mungkin UMNO tidak akan mencampur-adukkan antara politik dan urusan kerajaan, tetapi dalam politik segalanya berkemungkinan.

Tambahan pula, dalam perbahasan Belanjawan 2021, BN sudah menuntut pindaan dilakukan dalam belanjawan itu jika mahukan sokongan ahli Parlimen gabunagn tersebut.

Ir.Khairil Nizam Khairuddin bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki ketika mesyuarat Muafakat Nasional melibatkan sayap kedua-dua parti itu tidak lama dulu

Turut menarik perhatian apabila Hamzah juga mengumumkan pelantikan Ketua Pemuda Pas, Ir. Khairil Nizam Khiruddin sebagai Ketua Pemuda PN yang akan bertanggungjawab merancakkan lagi aktiviti di peringkat akar umbi agar dapat merapatkan silaturahim antara ahli-ahli.

Pelantikan Khairil Nizam sudah pasti sedikit sebanyak menimbulkan persoalan apa akan berlaku kepada Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai oleh UMNO dan Pas.

Apakah MN akan ‘berkubur’ memandangkan Pas dilihat lebih cenderung memperkukuhkan PN?

Apatah lagi, walaupun UMNO dan Pas berhasrat memperkukuhkan MN namun dengan keputusan terbaru PN itu, sudah tentu ia sedikit sebanyak akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti berkenaan.

Justeru ramai melihat sememangnya kerjasama UMNO dan BN dalam Kerajaan PN hanya bersifat sementara dan ia akan berakhir dengan sendirinya apabila Parlimen dibubarkan.

Pada masa sama, hubungan UMNO dan Pas dalam MN juga dilihat semakin tidak menentu sehingga menimbulkan persoalan apakah akhirnya UMNO akan berjuang sendirian dalam PRU-15?

Sesungguhnya pengumuman pelantikan Mohamed Azmin dan Khairil Nizam pasti akan mengubah senario kerjasama politik dalam PN khususnya melibatkan Bersatu dan UMNO, malah tidak mustahil akan turut melibatkan hubungan antara UMNO dan Pas. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan