27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tiada kilang haram sepanjang 30 km Sungai Selangor – Exco

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Exco Negeri Selangor, Hee Loy Sian menafikan kewujudan kilang-kilang haram yang beroperasi dalam lingkungan 30 kilometer di sepanjang Sungai Selangor.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri Selangor berkata,kilang-kilang haram itu kebanyakannya berada jauh dari sungai berkenaan.

HEE LOY SIAN

“Sebenarnya, ramai yang salah faham. Sepanjang Sungai Selangor ini tiada kilang-kilang haram.

“Sisa buangan dari kilang itu mengalir ke longkang, kemudian ke anak sungai dan barulah mengalir ke Sungai Selangor,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap soalan wartawan berhubung tindakan kerajaan negeri terhadap kilang-kilang haram yang melakukan pencemaran air.

Memetik Astro Awani, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengenal pasti punca pencemaran di Sungai Selangor yang direkodkan awal pagi ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, sampel pencemaran mempunyai bau larutan (solvent) sama seperti kes pencemaran sebelum ini.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, banyak pihak juga salah faham dan mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

“Saya rasa Majlis Perbandaran Selayang kerja kuat siang dan malam bersama JAS untuk periksa di setiap premis supaya mereka tidak langgar undang-undang,” tegas beliau.

Terdahulu, Exco itu mengakui operasi kilang haram di sekitar kawasan sungai memberi cabaran buat pihaknya memantau pencemaran sungai yang berlaku.

Namun katanya, JAS telah ditugaskan untuk memantau sepanjang masa sebarang aktiviti pembuangan sisa tercemar di sepanjang Sungai Selangor.

Berikutan pencemaran bau Sungai Selangor yang dikesan awal pagi ini, Air Selangor mengeluarkan arahan henti tugas di empat loji rawatan air (LRA) iaitu di LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Ini mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka melibatkan 1,196,457 akaun pengguna di 1,292 kawasan dalam wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Dalam perkembangan berkaitan, Loy Sian memberitahu, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi ganjaran sehingga RM20,000 kepada mana mana pihak yang memberi maklumat berkaitan pencemaran Sungai Selangor sehingga tertangkapnya dalang kejadian itu.

Jelasnya, selain ganjaran, hukuman yang lebih berat termasuk denda sehingga RM1 juta akan dikenakan terhadap pelaku akan diusul dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan.

“Untuk sidang Dewan Undangan Negeri Selangor akan datang pada 1 November, kita akan bawa untuk mengubah hukuman penjara dan denda, jika sekarang RM100,000 kita akan tingkatan RM200,000 hingga RM 1 juta dan penjara tiga tahun.

“Pada masa sama, kita akan mengalakkan orang ramai bertindak sebagai whistleblower iaitu kita akan beri ganjaran RM20,000 kepada mereka yang mendedahkan unsur-unsur mencemarkan sungai,” katanya.

Sementara itu, Loy Sian berkata, kerajaan negeri Selangor akan menggunakan dron teknologi tinggi dengan peruntukan RM2 juta bagi menangani isu pencemaran.

Jelasnya dengan menggunakan dron itu, pemantuan di kawasan terpencil dapat dilakukan bagi mengesan sebarang unsur-unsur pencemaran.

“Negeri Selangor baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM2 juta mengadakan dron berteknologi tinggi dan kita akan gunakan dron memastikan sampel air dapat diambil dengan lebih berkesan lebih tepat.

“Pada masa sama, (dron) boleh masuk tempat terpencil yang sukar capai. (Dron) Ini akan start bulan depan kita akan gunakan dron untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan