26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Shafie ‘sanggup mati’ dari serah kuasa, Najib ingatkan Tun M

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa supaya tidak lagi cuba membohongi rakyat untuk menyalahkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebagai punca peningkatan kes positif Covid-19 di seluruh negara selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak berkata, PRN Sabah diadakan ketika Covid-19 merebak disebabkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ‘sanggup mati’ daripada menyerahkan kuasa kepada mereka yang mengkhianati mandat rakyat.

Malah tegas beliau, kerajaan-kerajaaan negeri pernah bertukar tangan sebanyak lima kali selepas PRU14 iaitu Sabah pada tahun 2018 dan Johor, Melaka, Perak dan Kedah pada tahun 2020.

“Tapi sekali pun DUN tidak dibubar dan PRN diadakan dalam kelima-lima kali ini. Hanya Shafie sahaja yang bubarkan DUN untuk adakan PRN.

“Sebab itu, Shafie bukan terpaksa bubar tetapi dia sanggup mati dan membahayakan nyawa warga Sabah untuk kekalkan kuasa.

“Disebabkan itu juga Shafie mohon maaf kepada warga Sabah kerana membubarkan DUN pada ketika kes Covid mula meningkat di sana. Ini ialah fakta sejarah yang tak dapat dinafikan,” tegas Najib dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, dalam hantaran hari ini Dr. Mahathir berkata, PRN Sabah tidak sepatutnya berlaku.

Bekas Perdana Menteri itu menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional yang didakwa cuba untuk mengambil alih Kerajaan Negeri Sabah dari Warisan Plus pimpinan Shafie melalui pintu belakang.

“Sabah sudah ada PRN pada 2018. Warisan menang dan tubuh Kerajaan. Tapi Kerajaan pintu belakang Pusat berhasrat kuasai Sabah juga melalui pintu belakang.

“Untuk elak daripada ini berlaku, Kerajaan Warisan terpaksa dibubar untuk adakan PRN.
Maka menanglah duit, kerana dia raja.

“Tapi kosnya tinggi. Bukan sahaja wang ringgit, tetapi juga serangan Covid-19. Dari Sabah berkembang ke Semenanjung,” kata Dr. Mahathir.

Dalam perkembangan sama, Najib menjelaskan, banyak pembohongan sekali lagi dalam hantaran terbaharu Dr Mahathir.

Menurutnya, Warisan tak menang di Sabah pada PRU14 kerana yang terlebih dahulu membentuk kerajaan ialah BN dan Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.


“Lalu Dr Mahathir gunakan SPRM untuk ugut ADUN-ADUN kerajaan BN Sabah kononnya mereka dibayar wang untuk sokong Musa Aman yang akhirnya menyaksikan parti UPKO yang bertanding atas tiket BN melompat ke Warisan untuk menjatuhkan kerajaan BN Sabah,” katanya.

Selain itu kata Najib, apa yang disebut Dr Mahathir sebagai kerajaan pintu belakang sebenarnya ialah kerajaan Warisan Sabah.
Menurutnya, Musa tidak dibenarkan berjumpa dengan TYT Sabah dan digugurkan jawatan untuk membenarkan Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dengan cara yang melanggar perlembagaan.

“Selepas beberapa ADUN hilang kepercayaan terhadap kerajaan Warisan dan Shafie hilang sokongan majoriti kepada Musa Aman, kerajaan Warisan pun tumbang.


“Tapi Shafie kata beliau sanggup mati daripada serah kembali kuasa sebagaimana beliau rampas kuasa melalui pintu belakang selepas PRU14.


“Lalu beliau bubarkan DUN untuk mengadakan PRN Sabah.Keputusan Shafie bubar DUN juga disokong penuh oleh majlis presiden PH,” katanya.

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan