31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Siapa lagi akan khianati UMNO?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

PADA 23 September lalu, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai cukup sokongan ahli Parlimen termasuk daripada UMNO untuk menubuhkan kerajaan, ia mengejutkan banyak.

Ramai tertanya-tanya apakah benar dakwaan Presiden PKR itu dan ia semakin menjadi perbualan apabila Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu tidak dapat menghalang jika ada ahli Parlimennya mahu menyokong Anwar.

Berikutan itu Pas melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan parti itu akan minta penjelasan UMNO manakala UMNO pula memberi reaksi balas dengan menegaskan, parti itu juga mahu penjelasan Pas berhubung tindakan Pas bergabung dalam Perikatan Nasional.

Dalam bahasa mudah ‘gemparan’ politik Anwar sedikit sebanyak menimbulkan perasaan curiga mencurigai antara UMNO dan Pas. Dan kini menjelang 24 jam Anwar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli Parlimen UMNO pula wujud perasaan curiga mencurigai.

Apatah lagi berbanding Pas yang mengeluarkan kenyataan tegas semalam melalui Takiyuddin bahawa kesemua 18 ahli Parlimennya tetap menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan  Nasional, kepemimpinan UMNO pula setakat ini diam membisu.

Tiada apa-apa kenyataan dikeluarkan bagi menunjukkan kesemua 39 ahli Parlimen parti ‘solid’ bersama Muhyiddin dan PN, malah tidak ada sebarang mesyuarat khas di peringkat Majlis Tertinggi bagi membincangkan ‘gemparan’ politik Anwar.

Setakat ini yang ada hanyalah kenyataan beberapa pemimpin termasuk Ahmad Zahid yang menegaskan bahawa UMNO berpegang kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini bahawa tidak akan ada kerjasama dengan Anwar, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahupun DAP.

Namun begitu, pendirian tersebut belum mampu menutup spekulasi yang bertebaran dan pelbagai persoalan yang bergentayangan termasuklah apakah benar  ada ahli Parlimen  daripada UMNO  akan menyokong  Anwar ‘atas semangat UMNO tidak boleh menghalang’ ?

Kalau betul siapakah mereka yang bersedia menempah nama untuk menjadi pengkhianat kepada parti dengan bersekongkol dengan Annwar yang sudah pasti akan mendapat sokongan DAP? Apa yang  mereka dapat atau imbalan yang akan diperolehi hasil pengkhianatan yang dilakukan?

Penulis membangkitkan persoalan ini apabila membaca satu laporan dalam portal berita Free Malaysia Today semalam yang memetik tiga ahli Parlimen UMNO berkata, parti itu kini terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu yang menyokong Anwar, yang menentang dan yang di atas pagar (belum membuat keputusan).

Keadaan ini bukanlah sesuatu yang baik kepada UMNO sebaliknya akan memberi gambaran dari semasa ke semasa, situasi dalam parti itu semakin tidak menentu selepas kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum lalu.

Sepatutnya tidak wujud kumpulan ahli Parlimen yang akan membelot atau atas pagar. UMNO perlu ada satu sahaja kumpulan ahli Parlimen iaitu terus bersama UMNO dan Kerajaan Perikatan Nasional.

Pada awal Mac lalu, kesemua mereka terlibat dan bersedia untuk bersama Kerajaan Perikatan Nasional walaupun sepatutnya perlu kekal dengan pendirian asal mendesak supaya Parlimen dibubarkan apabila Kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas Dr.Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Dan sekarang apakah wajar hanya disebabkan tidak mendapat pertolongan daripada Muhyiddin dan mendakwa tidak tahu arah ke mana Perdana Menteri maka ia mahu dijadikan alasan untuk menyokong Anwar?

Hujah bahawa sokongan yang akan diberikan bukan berdasarkan parti tetapi individu seperti mana kata seorang lagi ahli Parlimen UMNO kepada portal tersebut juga cukup dangkal.

Ia menampakkan seolah-olah mandat yang diberikan oleh rakyat sehingga memungkinkan mereka menjadi ahli Parlimen bagaikan ‘barang gadaian’ yang boleh dipertaruhkan di mana sahaja asalkan boleh mendatangkan keuntungan kepada ahli Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun penulis tidak mahu menyimpan sebarang perasaan curiga kepada mana-mana ahli Parlimen UMNO selagi tiada pengumuman rasmi dibuat bahawa ada antara mereka sudah melakukan pembelotan dan pengkhianatan.

Lagi pula Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz sudah menjelaskan bahawa tiada seorangpun ahli Parlimen UMNO yang akan menyokong rancangan Anwar.

Cuma apa yang membimbangkan berdasarkan laporan portal berita tersebut ada suasana yang cukup tidak menyenangkan sedang berlaku dalam UMNO.

Inilah bahananya apabila kepemimpinan parti tidak menyatakan pendirian secara jelas dan tegas bahawa UMNO menolak secara total sebarang usaha untuk memberi sokongan kepada Anwar.

Dalam bab politik ini tidak boleh membuat kenyataan samar-samar apatah lagi dilihat ‘berkias-kias’ kerana ia akan mewujudkan spekulasi dan pemimpin berkenaan dilihat tiada ketegasan.

Apapun penulis berharap tidak akan ada mana-mana ahli Parlimen UMNO akan berpaling tadah. Penulis tidak menafikan memang ada tindak tanduk pemimpin-pemimpin atau parti Bersatu yang bukan sahaja tidak menyenangkan UMNO tetapi dilihat tidak menghargai jasa UMNO.

Tetapi itu bukan alasan untuk melakukan ‘pengkhianatan’ dengan menyokong Anwar. Sudah tentulah sebagai satu kerjasama baru, Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional ada kelemahan di sana sini, justeru berunding dan selesaikanlah.

Jika selepas perundingan dilakukan, masalah tidak juga boleh diselesaikan, barulah fikir apa yang harus dilakukan asalkan ia bukan melibatkan kerjasama dengan Anwar, Mahathir dan DAP. Namun yang pasti jika UMNO, Pas dan Bersatu berpecah yang akan untung ialah Pakatan Harapan.

Semoga ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus istiqomah bersama perjuangan UMNO tetapi kalau ada juga yang mahu menjadi pengkhianat, tidak payahlah memberi seribu alasan kerana tidak ada alasan lain, selain daripada demi kepentingan peribadi atau ‘mahu melepaskan leher sendiri’ – Itu sahaja.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan