KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia melupuskan sebanyak sembilan bot Vietnam lucut hak dengan menjadikannya sebagai tukun tiruan yang ditenggelamkan di Pulau Susu Dara berhampiran perairan Pulau Perhentian,Terengganu, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tukun tiruan itu dinamakan Tukun Segantang bersempena memperingati jasa kapal KM Segantang yang merupakan kapal tertua Maritim Malaysia berusia lebih separuh abad.
Menurutnya, KM Segantang banyak berjasa dalam operasi agensi itu di perairan Terengganu sebelum diserahkan semula kepada TLDM.
“Kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang dilucut hak kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.
“Penenggelaman bot-bot ini sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta menunjukkan komitmen Maritim Malaysia di dalam mengekang kebanjiran nelayan asing ke perairan negara,” jelas Suffi dalam satu kenyataan, hari ini.
Suffi memberitahu, pendekatan itu juga dilihat sebagai isyarat tegas kerajaan dalam memelihara kedaulatan perairan negara dan memastikan sumber perikanan terus terpelihara daripada nelayan asing.
Ujar beliau, Maritim Malaysia Negeri Terengganu khasnya akan sentiasa mengetatkan kawalan perairan bagi membanteras kegiatan seperti penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing.
“Sejak penubuhan lagi sebanyak 155 buah bot nelayan asing telah dilupuskan secara tukun tiruan dan pada tahun ini sahaja 14 bot lucut hak telah ditenggelamkan oleh Maritim Malaysia Negeri Terengganu,” tambah Suffi lagi.
“Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang- undang di sekitar perairan Terengganu,” katanya.
Sementara itu, Suffi menambah, program pelupusan bot berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan serta Taman Laut dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).