24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Dengar ‘suara malaikat’ sebelum bunuh anak

Mesti Baca

KOTA BHARU – Tindakan seorang lelaki yang dipercayai membunuh anaknya berusia lapan bulan di Kampung Sungai Dua, Bachok, pagi semalam mungkin ada kaitan dengan ajaran sesat.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, ini berdasarkan cara bayi lelaki itu dibunuh dengan seluruh badan dilumur garam serta halusinasi yang dialami suspek.

Menurutnya, sehingga kini suspek berusia 40 tahun itu tidak bercakap untuk diambil keterangan, sebaliknya hanya berzikir dan mendakwa dia mendengar suara malaikat sebelum membunuh anaknya.

“Selain bapa mangsa, polis turut menahan isteri suspek yang juga ibu mangsa berusia 32 tahun bagi membantu siasatan. Wanita berkenaan masih dirawat di hospital memandangkan keadaannya yang masih trauma.

“Ujian air kencing yang dilakukan terhadap pasangan suami isteri berkenaan juga negatif,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Seorang lelaki tergamak membunuh anaknya berusia lapan bulan di Kampung Sungai Dua, Bachok, pagi semalam

Dalam kejadian pagi semalam, seorang bayi lelaki berusia lapan bulan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati termasuk badan dilumur garam dipercayai dibunuh bapa kandung menggunakan objek tumpul.

Kematian Wan Mohamad Afiq Wan Roslan dipercayai dilakukan bapa mangsa yang mengalami masalah gangguan mental sebelum disedari pukul 11.30 pagi.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya menunggu keputusan laporan kimia sama ada suspek mempunyai masalah mental atau tidak.

Advertisements

“Berdasarkan laporan bedah siasat yang baru selesai pukul 5 pagi tadi, punca kematian bayi berkenaan disebabkan kecederaan di kepala disebabkan hentakan.

“Kecederaan itu berkemungkinan bayi itu jatuh atau dipukul dengan objek tertentu,” katanya yang perintah tahanan reman terhadap suami isteri berkenaan sedang dilakukan di Mahkamah Bachok.

Dalam perkembangan berkaitan, suspek dilapor terpaksa diusung oleh enam anggota polis ke Mahkamah Bachok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Memetik Berita Harian, suspek berusia 40 tahun dikatakan enggan keluar dari kereta dan membaca beberapa surah al-Quran dengan alasan untuk berdoa.

Bagaimanapun, selepas 10 minit menunggu, anggota polis terpaksa mengusung suspek masuk ke mahkamah.

Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan anaknya dalam kejadian di Kampung Sungai Dua di sini, pagi semalam.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.

Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan