31.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 11, 2024

Jangan sampai UMNO dituduh ‘menangguk di air keruh’

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEMALAM, ketika arena politik negara pada sebelah pagi dan petangnya hangat memperkatakan berhubung pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dan sidang akhbar Presiden PKR tersebut,  pada sebelah malamnya UMNO pula ‘melakukan kejutan politik’.

Ia berikutan Mesyuarat Biro Politik parti itu antara lain memutuskan dua perkara penting berkaitan kerjasama dengan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan kepada media berkata, parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN dan akan membuat syarat baharu kepada Kerajaan Perikatan Nasional bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Kedua, UMNO akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional agar Muafakat Nasional didaftarkan dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

Dalam keadaan Kerajaan Perikatan Nasional ‘bagaikan telur di hujung tanduk ’ berikutan majoriti cukup tipis, sudah tentulah akan ada pihak menuduh UMNO mahu ‘menangguk di air keruh’.

Mungkin UMNO tidak berniat demikian kerana parti itu menyatakan, ‘’UMNO menegaskan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan. Sebarang keputusan yang UMNO lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara.’’

Tetapi bagaimana jika desakan UMNO tidak dilayan oleh Kerajaan Perikatan Nasional? Adakah benar UMNO akan menarik diri? Jika itu berlaku apa manfaatnya kepada rakyat?

Tidakkah ia boleh menjurus kepada ketidakstabilan politik yang akhirnya menyeret rakyat yang tengah susah akibat pandemik Covid-19 ke medan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

Satu persoalan lagi kenapa UMNO membuat tuntutan itu pada hari yang sama Anwar melakukan ‘gemparan’ politiknya? Adakah UMNO berpendapat, ini waktu terbaik untuk melakukan ‘gertakan’?  Jawapannya ada kepada pemimpin-pemimpin UMNO tetapi yang pasti ia belum tentu menguntungkan mereka.

Kemenangan di beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini termasuk menyumbang kejatuhan Kerajaan Warisan di Sabah bukanlah bermaksud UMNO sudah cukup kuat, sebaliknya UMNO perlu memahami kemenangan dalam PRK turut dibantu oleh Pas yang bersama mereka dalam Muafakat Nasional. Tanpa bantuan Pas belum tentu UMNO boleh mencapai kemenangan cemerlang.

Dan sekarang UMNO mahu memberi syarat kepada Kerajaan Perikatan Nasional dan mencadangkan supaya Muafakat Nasional didaftarkan, soalnya adakah dalam situasi sekarang Pas akan merestui dan akur dengan kehendak UMNO?

Pas seperti mana kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, hari ini, ‘’Pendirian Pas tetap sama iaitu perkukuhkan Muafakat Nasional dan pertahankan Perikatan Nasional…kita akan adakan perbincangan.’’

Advertisements

Tetapi apakah Pas akan bersama UMNO jika tindakan politik UMNO boleh memudaratkan atau menyeret Pas kepada kemarahan rakyat?

Ketika ini sudah ada cakap-cakap, hubungan antara UMNO dan Pas tidak semesra dulu, malah ada yang mendakwa laungan dan gerakan melalui Muafakat Nasional yang satu ketika cukup digeruni semakin ditenggelami oleh Perikatan Nasional.

Keadaan itu menyebabkan timbul persoalan, adakah Pas akan kekal bersama UMNO? Atau mewujudkan hubungan lebih akrab dengan Bersatu? Bagaimana kalau Pas memilih untuk bersama Bersatu?

Pas berada dalam Muafakat Nasional dan pada masa sama bergabung dalam Perikatan Nasional secara rasmi, tetapi kalau UMNO ‘mendesak’ mahu Muafakat Nasional didaftarkan secara rasmi, adakah Pas akan bersetuju?

Secara ikhlas, penulis tidak nampak Pas akan bersedia mendaftarkan secara rasmi Muafakat Nasional, kalau dahulu sebelum wujud Perikatan Nasional, ia mungkin terjadi. Tetapi sekarang dengan Pas menjadi sebahagian kerajaan, sudah pasti banyak pertimbangan yang akan dilakukan.

Sementara itu, apabila UMNO menyatakan pendirian berhubung kerjasama dengan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional, maka parti itu juga perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah berjuang bersendirian dalam pilihan raya.

Bagaimanapun UMNO perlu ‘menghadam’ satu fakta bahawa memiliki ahli seramai lebih 3 juta – paling ramai berbanding parti lain – bukanlah jaminan bahawa mereka boleh menang besar dalam PRU15.

Oleh itu penulis berpendapat adalah wajar jika UMNO tidak melakukan tindakan yang boleh menyebabkan mereka dituduh mengamalkan politik gertak. Tidak salah meminta atau mendesak satu perjanjian bertulis.

Perjanjian seumpama itu mungkin penting untuk memastikan tiada sesiapa mahu menjadi ‘abang besar’ atau mana-mana parti dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ tetapi tidak perlulah menggunakan pendekatan yang akhirnya merugikan UMNO.

Penggunaan ayat ‘membuat pertimbangan untuk menarik diri…’ bukanlah satu tindakan bijak, sebaliknya UMNO akan berhadapan kecaman rakyat yang sebelum ini sudah cukup muak dengan permainan politik perebutan kuasa yang tidak berkesudahan sejak selepas PRU-14 lalu.

Lebih baik UMNO bersabar sehingga Parlimen dibubarkan. Ketika itu, kalau mahu membuat apa-apa tuntutan, buatlah… jika persefahaman gagal dicapai terserahlah mahu menarik diri atau tidak, daripada Perikatan Nasional.

Sekarang bukan waktu sesuai, negara sedang bertarung dengan Pandemik Covid 19. Rakyat berada dalam kesusahan, ribuan orang hilang pekerjaan dan ribuan lagi terjejas pendapatan sepatutnya itu yang menjadi tumpuan sebagai sebuah parti yang berada dalam kerajaan.

Lagipun itu juga yang dikatakan dalam kenyataan Ahmad Maslan bahawa, UMNO akan terus berjuang demi kepentingan rakyat untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat ditangani oleh kerajaan dan pihak yang berkaitan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Kesimpulannya, pada pandangan penulis, UMNO harus berhati-hati dalam percaturan politiknya supaya tidak terjerumus situasi, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.’

Advertisements

Terkini

Nambikkai seru pengundi KKB undi calon kerajaan Perpaduan

PERTUBUHAN Nambikkai Malaysia menyeru pengundi di Kuala Kubu Baharu agar menyokong serta mengundi calon daripada kerajaan Perpaduan pada Pilihan...

Lagi Artikel Berkaitan