KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia telah memasuki gelombang ketiga pandemik Covid-19.
Dr Noor Hisham sehubungan itu mengingatkan rakyat supaya sekali lagi bersama berpadu tenaga untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan.
“Kita sekarang telah memasuki gelombang ketiga #COVID19. Sekali lagi kita mesti bersama berpadu tenaga memutuskan rantaian penularan jangkitan ini. #KitaJagaKita,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.
Semalam, sebanyak 375 kes baharu Covid-19 dicatatkan dengan semua negeri dan Wilayah Persekutuan kecuali Perlis mencatatkan kes baharu.
Daripada jumlah itu, 371 merupakan penularan tempatan dan empat lagi merupakan kes import, dengan kes tertinggi dicatatkan di Sabah sebanyak 271 kes.
Lapan daerah di Sabah manakala satu di Selangor dan Kedah dikategorikan sebagai zon merah apabila mencatatkan lebih 40 kes jangkitan.
Selain itu, dalam hantaran Facebook berasingan, Dr Noor Hisham berkata, terdapat lima kluster baharu direkodkan semalam.
Menurutnya, dua kluster baharu itu dicatatkan di Sabah (Tanamera dan Tujuh Serangkai) manakala satu kluster masing-masing di Kuala Lumpur (Jalan Pantai), Wilayah Persekutuan Labuan (Bah Bangat) dan Sarawak (Bah Arnab).
Beliau menambah,punca jangkitan bagi semua kluster baharu itu masih dalam siasatan.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook berasingan, Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19 semalam dengan kesemua kes berlaku di Sabah.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 146 kes (1.02 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.
Beliau menambah, terdapat 60 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU yang mana 20 kes memerlukan bantuan pernafasan.