26.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Kerteh FC: Dari jual muruku kini bakal miliki stadium sendiri

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KERTEH FC hanyalah kelab kecil yang berpengkalan di sebuah bandar yang terletak di kawasan industri minyak dan gas negara di daerah Kemaman di negeri Terengganu.

Diasaskan oleh tujuh anak muda yang bergabung di bawah KAL Services Sdn Bhd, mereka tidak pernah menyangka dalam tempoh yang singkat kelab itu berjaya mencipta nama.

Selepas dua tahun penubuhan, Kerteh FC telah berjaya menjulang juara berganda Liga Amatur Terengganu dalam penampilan pertama mereka tahun lalu.

Walaupun tidak segah kelab-kelab yang sudah berusia puluhan tahun dalam kancah bola sepak tempatan seperti Selangor FA, JDT bahkan Terengganu FA sendiri, namun mereka telah membuktikan untuk berjaya perlu ada perancangan rapi.

Telus dan bebas daripada pengaruh mana-mana politik dan meletakkan falsafah ‘bola sepak adalah perniagaan’ antara kunci pencapaian Kerteh FC setakat ini.

Bukan mudah untuk membentuk dan menguruskan sebuah kelab sementelah pemikiran masyarakat kita yang masih jumud dan menganggap bola sepak hanya sekadar acara ‘sukan’ ketika negara lain sudah jauh mengorak langkah jauh ke hadapan.

“Ketika mengajukan perancangan kami kepada pihak-pihak tertentu, mereka menganggap kami terlalu mengikut cara barat. Kata mereka kita tidak boleh samakan dengan kelab di Eropah,” kata salah seorang pengasas Kerteh FC ketika berbual dengan penulis baru-baru ini.

Dengan mengambil sejarah penubuhan kelab Borussio Dortmund, beliau mengakui usaha menubuhkan Kerteh FC dan menggerakkannya sehingga ke tahap ini bukan suatu perkara yang mudah.

Yelah, mana ada kelab bola sepak di negara ini termasuk berstatus profesional yang bersaing dalam Liga Malaysia yang mengutamakan keuntungan.

Kalau ada mungkin usahanya tidak seberapa atau tidak bersungguh-sungguh.

Perkampungan bola sepak yang akan dibangunkan oleh Kerteh FC di bandar Kertih, Kemaman di Terengganu. – Sumber: KertehFC.com

Selama ini kelab-kelab di negara ini duduk di bawah persatuan bola sepak negeri masing-masing. Mereka dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan agensinya.

Untung rugi tiada dalam agenda mereka. Penjualan tiket tidak dibuat dengan serius, laporan kewangan kelab tidak pernah didedahkan, bahkan sebahagian besar kelab hanya mengharap dana FAM untuk membayar gaji pemain.

Kalau ada usaha untuk mencari dana luar hanya mengharapkan penajaan daripada syarikat-syarikat, tiada perancangan dari segi pulangan pelaburan.

Lebih parah ada kelab-kelab yang berbelanja melebihi kemampuan kerana terikut-ikut rentak kelab-kelab elit yang berduit.

Itulah yang penulis nampak sepanjang mengikuti perkembangan dan kancah bola sepak negara.

Atas sebab itulah banyak syarikat yang menaja kelab-kelab bola sepak kita angkat kaki kerana menganggap pelaburan mereka sia-sia atau tiada pulangan yang meyakinkan.

Namun, sejak Kerteh FC ditubuhkan dan mendedahkan perancangan perniagaan mereka, laporan kewangan yang dibentang kepada umum, mereka berjaya menarik pelabur bukan sahaja dari dalam negeri bahkan juga dari luar negara.

Advertisements

Mana mungkin seorang pakar teknikal dari Sepanyol seperti Oscar Reira sedia untuk bekerja dengan kelab kerdil dari sebuah pekan kecil kalau bukan melihat potensinya.

Amat sukar bagi sebuah kelab dari Barcelona seperti Sant Andreu untuk menjalinkan kerjasama dan sedia bertukar pemain dengan sebuah kelab dari M4 Malaysia, kalau bukan kerana perancangan yang meyakinkan.

Tidak hairan jika Kerteh FC kini menjadi rujukan beberapa kelab Liga Malaysia termasuk pasukan M3 dan Liga Perdana berikutan arahan FAM agar semua kelab yang menyertai Liga Malaysia bertaraf kelab (FC) dan bukan lagi persatuan (FA).

Ini kerana Kerteh FC dilihat mempersiapkan diri jauh lebih awal berbanding peraturan baharu FAM tersebut, yang memaksa kelab-kelab yang sebelum ini berstatus FA menjadi FC.

Dari segi kewangan, Kerteh FC tidak hanya duduk menadah dana FAM atau menagih simpati kerajaan negeri sebaliknya berusaha menjalankan pelbagai perniagaan.

Menerusi syarikat KAL Services, syarikat itu menguruskan projek-projek berkaitan minyak dan gas, malah kelab itu juga tanpa segan menjaja muruku dan daging perap berjenama ‘Kerteh FC’.

Kini kelab itu mempunyai perancangan yang lebih besar iaitu untuk membina sebuah perkampungan bola sepak sendiri dinamakan Kerteh Football City.

Projek yang dikatakan menelan belanja kira-kira RM7 juta itu bakal dilengkapi dengan sebuah stadium mini, tiga buah pada latihan, pusat sukan dan hotel.

Fasa pertama perkampungan itu melibatkan pengubahsuaian stadium akan bermula Januari tahun depan dan dijangka siap lima bulan kemudian.

Ini menjadikan Kerteh FC sebagai kelab M4 pertama yang memiliki stadium sendiri, dibangun hasil titik peluh kelab tersebut dan bukannya oleh kerajaan negeri mahupun pihak istana.

Kerteh FC turut menekankan pembangunan bola sepak dari peringkat kanak-kanak.

Kini kelab itu membuka peluang kepada mana-mana pihak yang mahu melabur dalam projek tersebut dengan menjanjikan pulangan pelaburan yang baik.

“Kerteh FC menyediakan pelbagai platform pemasaran melalui peluang kerjasama, penajaan dan pengiklanan bersama dengan kami. Setiap kerjasama itu adalah unik.

“Hubungan kami berdasarkan pemahaman yang jelas mengenai strategi pemasaran syarikat anda. Oleh itu, pakej yang kami tawarkan boleh dikembangkan bagi memastikan matlamat dan objektif anda tercapai,” kata kelab itu, semalam.

Sesungguhnya perjalanan Kerteh FC baru bermula. Dari segi pengurusan, kelab itu boleh dijadikan contoh oleh pasukan lain namun pada masa yang sama mereka perlu memiliki kumpulan pemain yang mantap.

Kita berharap Kerteh FC boleh berada dalam senarai pasukan liga utama negara, kalau tidak Liga Super sekurang-kurangnya Liga Perdana dalam tempoh beberapa musim akan datang.

Mampukah Kerteh FC? – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan