29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Korea Utara sahkan kematian pertama akibat Covid-19

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KOREA Utara mengesahkan kematian pertama akibat COVID-19 di negara itu, hari ini, dengan gejala demam dikesan merebak secara meluas dan lebih 100,000 penduduk diasingkan serta dirawat selepas jatuh sakit.

Memetik laporan Agensi, negara bersenjata nuklear itu melaporkan kes pertama COVID-19, semalam, sekali gus mengaktifkan ‘sistem pencegahan epidemik kecemasan maksimum’ selepas pesakit di Pyongyang didapati positif jangkitan varian Omicron.

Korea Utara melaksanakan sekatan ketat sejak pandemik pada 2020, namun pakar berpendapat, ia lambat-laun pasti turut terjejas berikutan penularan pantas varian Omicron di semua negara jirannya.

“Demam yang puncanya tidak dapat dikenal pasti, telah merebak pantas ke seluruh negara sejak akhir April lalu.

“Enam orang meninggal dunia (seorang daripada mereka dikesan positif subvarian Omicron, BA.2),” menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Pakar memberi amaran bahawa Korea Utara akan bergelut untuk menangani penularan wabak besar, dengan kemudahan kesihatan yang teruk dan 25 juta penduduknya masih belum menerima vaksin COVID-19.

“Pada 12 Mei saja (semalam), kira-kira 18,000 orang dikesan demam di seluruh negara.

Setakat ini, seramai 187,800 orang sedang menjalani pengasingan dan diberi rawatan,” lapor KCNA.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dilihat memakai pelitup muka untuk kali pertama ketika ke udara melalui siaran televisyen.

Beliau menyelia mesyuarat kecemasan Politburo, semalam, serta mengarahkan pelaksanaan perintah berkurung di seluruh negara bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Hari ini, KCNA melaporkan Jong Un melawat ibu pejabat pencegahan epidemik kecemasan negara, dan diberi taklimat mengenai keadaan perebakan COVID-19.

“Ia adalah cabaran paling penting dan tugas utama dihadapi parti kita untuk menamatkan krisis kesihatan awam ini dengan segera,” menurut KCNA.

Sementara itu, Korea Selatan dilaporkan merancang untuk menyediakan vaksin COVID-19 dan bekalan perubatan kepada Korea Utara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Presiden Yoon Suk-yeol, hari ini, sehari selepas Korea Utara mengesahkan penularan pertama COVID-19 di negara berkenaan.

“Kita akan membincangkan perincian pelan bantuan dengan Korea Utara,” kata jurucakap Suk-yeol dalam satu kenyataan.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan