25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kes kemalangan meningkat dalam Op Selamat 18

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

STATISTIK kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 18 bersempena Hari Raya Aidilfitri bermula 29 April hingga 8 Mei lalu mencatatkan sedikit peningkatan berbanding Op Selamat 15 pada 2019 yang diadakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebanyak 15,947 kes kemalangan telah dilaporkan iaitu meningkat satu peratus (111 kes) berbanding 15,836 kes bagi Op Selamat 15.

Menurutnya, kes kemalangan maut pula merekodkan peningkatan tujuh peratus (10 kes) dengan 160 kes berbanding 150 kes pada Op Selamat 15.

“Manakala jumlah kematian turut merekodkan peningkatan sebanyak empat peratus (enam kes) dengan 166 kes berbanding 160 kes semasa Op Selamat 15.

“Walaupun berlaku peningkatan kes kemalangan disebabkan faktor pertambahan aliran kenderaan yang tinggi sehingga mencapai lima juta kenderaan, berikutan pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula ke kota, pihak polis dengan bantuan pelbagai agensi masih mampu mengawal situasi di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, sepanjang Op Selamat 18, kesesakan yang berlaku di jalan dan lebuh raya utama negara dapat dikawal dengan baik melalui Op Lancar yang diatur gerak semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Advertisements

Menurutnya, pemantauan udara menggunakan aset helikopter dan dron dilihat berkesan dalam menangani keadaan luar jangka daripada menjadi lebih buruk.

“Selain itu, keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang juga amat dipuji serta dihargai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama masyarakat dalam mengisi borang balik kampung bagi rumah atau premis yang ditinggalkan sepanjang Op Selamat 18 juga membantu polis dalam memastikan kadar jenayah pecah rumah dapat diturunkan.

“Untuk rekod, sebanyak 313 kes pecah rumah telah dilaporkan pada Op Selamat 18. Ini menunjukkan penurunan yang drastik iaitu sebanyak 42.6 peratus (232 kes) berbanding 545 kes pada Op Selamat 15.

“Melalui Op Selamat 18 ini juga, semangat Keluarga Malaysia dapat dilihat apabila semua pihak terutamanya pengguna jalan raya yang bertoleransi dan berhemah bagi memastikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat diraikan dengan penuh kemeriahan, kegembiraan, selamat dan harmoni,” katanya.-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan