Sunday, July 19, 2026

Kerajaan negeri sedia bantu pelajar nahas di Jordan – MB

Mesti Baca

KERAJAAN Negeri Selangor sedia membantu dua pelajar Universiti Mu’tah, Jordan yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di negara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dua-dua pelajar terbabit ialah Sumayya Azamuddin yang mengalami kecederaan ringan serta Fatimah Nuha Mustaza yang parah dan sedang menerima rawatan lanjut.

“Pejabat saya telah berhubung dengan waris dan keluarga pelajar yang terlibat serta akan memantau keadaan dari semasa ke semasa.

“Insya-Allah Kerajaan Negeri bersedia menghulurkan bantuan terhadap keluarga pelajar terbabit.

“Marilah bersama sama kita berdoa agar pelajar tersebut dipermudahkan urusan dan pulih seperti sediakala, Insya-Allah,”katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Edisi 9 melaporkan empat pelajar Malaysia cedera selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jordan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled menerusi Facebooknya hari ini.

Daripada empat pelajar terbabit dua daripadanya dari Johor iaitu Muhammad Zaqwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurllkanian@Zulkarnian.

Laporan awal itu menyebut dua lagi mangsa ialah pelajar dari Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, bapa kepada Fatimah Nuha, Muztaza dan isterinya dijangka terbang ke Amman malam ini bagi menguruskan anak mereka yang dirawat di sebuah hospital di sana.

“Fatimah Nuha merupakan pelajar jurusan Bahasa Arab di Universiti Mu’tah dan beliau kini masih berada di hospital setelah menjalani pembedahan,” kata Amirudin selepas menziarahi keluarga Fatimah Nuha di Keramat, petang tadi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memantau keadaan dari masa ke semasa berhubung kebajikan para pelajar Selangor di luar negara.

“Di bulan Ramadan yang mulia ini marilah kita sama-sama berdoa agar urusan kedua-dua pelajar ini dan keluarga mereka dipermudahkan dan diberi kesembuhan,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan