29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Lemur ghaib dari zoo, penyamun bantu jumpa semula

Mesti Baca

LOS ANGELES – Beberapa gambar lemur yang ada dalam telefon bimbit seorang penyamun trak telah membantu pihak polis menangkap suspek pencuri haiwan itu yang dilaporkan hilang dari sebuah zoo.

Media Amerika Syarikat (AS) melaporkan, insiden itu bermula apabila pihak Zoo San Francisco di California membuat laporan kehilangan seekor lemur jantan bernama Maki sekitar 9 pagi 14 Oktober lalu.

Mamalia comel yang ekornya berbelang warna hitam dan putih serta berusia 21 tahun itu didapati hilang secara misteri sejurus sebelum zoo seluas 40 hektar tersebut dibuka kepada para pelawat.

Penyiasat polis kemudian menemui bukti yang menunjukkan tempat kurungan lemur telah dipecah masuk oleh manusia sebelum penjenayah berkenaan membawa lari Maki keluar dari zoo tersebut.

Mujur seorang wanita menghubungi polis sekitar 5 petang pada 15 Oktober bagi memaklumkan Maki kelihatan di bandar Daly, kira-kira tujuh kilometer dari selatan zoo berkenaan, jelas pegawai polis.

“Kami menerima laporan menyatakan hidupan liar ini berada di kawasan taman permainan Gereja Hope Lutheran dan polis mengepungnya hingga petugas zoo berjaya tangkap untuk dibawa pulang.”

Menerusi kenyataan rasmi jabatan polis Daly, Maki didapati berada dalam keadaan sihat dan segera dihantar balik ke zoo sebelum misteri kes kehilangan lemur itu terbongkar pula secara tidak sengaja.

Ia terdedah apabila pihak polis San Rafael, sebuah bandar di utara San Francisco; menahan Cory McGilloway sekitar jam 10 malam hari yang sama kerana mencuri di kedai dan melarikan sebuah trak.

Leftenan Dan Fink yang menangkap lelaki tempatan berusia 30 tahun itu kemudian mendapati ada banyak foto Maki dalam fail telefon bimbit pencuri tersebut semasa disoal siasat dengan lebih lanjut.

“Kami tidak percaya boleh berlaku banyak kebetulan dalam kes sebegini dan ketika dikurung di Marin County, dia mengakui telah curi lemur itu,” katanya namun tidak pula mendedahkan motif insiden berkenaan.

Maki dilahirkan di Zoo San Francisco pada 1999 lalu dan mempunyai seekor anak yang ditempatkan dalam kurungan dikenali sebagai Lipman Family Lemur Forest, kata jurucakap zoo itu, Nancy Chan.

Kehilangan Maki turut jadi bahan berita utama pelbagai akhbar dan stesen penyiaran di AS apabila pihak zoo sanggup menawarkan ganjaran AS$2,100 (RM8,720) kepada sesiapa yang menjumpainya.

Menurut laman sesawang zoo, habitat lemur di zoo yang berusia 90 tahun itu mengandungi tujuh spesies dan berasal dari Madagascar, sebuah negara pulau di Afrika dan sesetengahnya terancam. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan