KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah meluluskan cadangan yang dikemukakan pengurusan untuk melantik seorang profesional bukan Islam sebagai Pengurus Besar di sebuah hotel milik institusi tersebut.
Malah, cadangan yang terkandung dalam memo yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff tidak pernah melibatkan atau dibincangkan dengan kerajaan sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary dalam kenyataan media, malam tadi.
“Untuk makluman, cadangan yang diangkat oleh CEO TH itu tidak pernah mendapat penglibatan atau dibawa ke sebarang perbincangan dengan pihak kami Pejabat Menteri atau TImbalan Menteri sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah.
“Walau bagaimanapun, Alhamdulillah cadangan tersebut telah pun ditolak oleh pihak Lembaga Pengarah TH semasa mesyuarat pada 1 Oktober lalu.
“Dengan penolakan ini, maka tidak berbangkit lagi soal lantikannya, dan saya ingin menjelaskan secara tuntas dan muktamad bahawa tidak berlaku lantikan Pengurus Besar bukan Islam tersebut sebagaimana dakwaan atau kegusaran sesetengah pihak,” jelasnya.
Kebelakangan ini, umat Islam khususnya pendeposit Tabung Haji bimbang apabila memo yang mengandungi cadangan tersebut tular dalam media sosial termasuk Facebook.
Mereka berharap agar institusi yang menjadi simbol memartabatkan ekonomi umat Islam di Malaysia itu memastikan semua pengurusan tertingginya dilantik dalam kalangan profesional beragama Islam yang berkelayakan agar mereka dapat melaksanakan agenda memperkasakan ummah dengan sebaik-baiknya.
Ahmad Marzuk menambah, Lembaga Pengarah TH bukan sahaja menolak cadangan tersebut malah turut mengarahkan pengurusan agensi itu mengemukakan semula cadangan calon Pengurus Besar hotel dalam kalangan profesional beragama Islam.
Beliau yakin langkah itu lebih sesuai dan menepati visi dan roh institusi pelaburan yang menjadi kebanggaan umat Islam di Malaysia.
Pada masa yang sama, Ahmad Marzuk menyatakan penghargaan terhadap segala komen dan pandangan masyarakat serta sentimen mereka yang gelisah dengan isu berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khususan TH supaya bersikap lebih peka agar tindakan yang diambil tidak mencetuskan kerisauan dan keresahan rakyat.
“Keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini bukan sahaja memulihkan prestasi kewangan TH malah memastikan segala urus tadbir yang melibatkan institusi itu terjamin dari sudut kepatuhan syariah dan sensitiviti umat Islam,” katanya. – EDISI 9