31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Jangan seret negara ke kancah tak menentu – Agong

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah hari ini meminta ahli-ahli politik menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka juga mengingatkan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan.

“Seri Paduka menasihat rakyat khususnya ahli-ahli politik untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika kita semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak Covid-19,” katanya.

Arena politik negara sekali lagi berada di ambang krisis apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadap Seri Paduka pada Selasa lalu mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti bagi menubuhkan kerajaan dan sekaligus menjadi Perdana Menteri.

Pada hari yang sama, hasil mesyuarat Biro Politik UMNO, parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional dan akan mengemukakan syarat baru dalam kerjasama dengan kerajaan tersebut. Bagaimanapun pendirian muktamad UMNO akan diketahui esok apabila Majlis Tertinggi bermesyuarat.

Ahmad Fadil seterusnya berkata, Al-Sultan Abdullah juga turut mengulangi titah nasihat Seri Paduka kepada ahli-ahli Parlimen semasa istiadat Perasmian

Advertisements

Pembukaan Penggal ketiga Parlimen Ke-14 pada bulan Mei lalu untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Mengenai pandemik Covid-19, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara kebiasaan baharu dalam membantu pihak-pihak berkuasa memerangi penularan wabak tersebut demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

“Mengambil keberkatan sempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat untuk berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin,” kata Ahmad Fadil melalui kenyataan tersebut.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT agar penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.

Titah Seri Paduka itu berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di seluruh Sabah sehingga 26 Oktober dan Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya sehingga 27 Oktober serta kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan