24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Darurat dapat tangguh pilihan raya Batu Sapi, Sarawak – PM

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dapat menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal berlangsung ketika jangkitan Covid-19 di seluruh negara kekal tinggi.

Perdana Menteri berkata, mengikut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen manakala Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Menurutnya, dalam Sidang Khas MKN yang  hari ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) memaklumkan ramai petugas pilihan raya menyatakan rasa bimbang untuk bertugas di PRK Batu Sapi nanti kerana takut terkena jangkitan Covid-19. 

Malah katanya, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia juga melaporkan jika PRN Sarawak terpaksa diadakan, beliau bimbang akan keadaan di kawasan-kawasan pedalaman negeri Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap apakah akan mampu menampung peningkatan kes-kes positif Covid-19 yang berkemungkinan naik secara mendadak selepas pilihan raya. 

“Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya. 

“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, boleh lah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihanraya ini sehingga Covid-19 berakhir.

“Jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak berhati-hati lah.

“Jagalah diri saudara dan saudari semua. Patuhi SOP dengan penuh berdisiplin apabila pilihanraya diadakan,” katanya hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau memandang serius trend peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di Malaysia pada masa ini yang turut disebut gelombang ketiga.

Katanya, hanya dalam tempoh sebulan yang lalu, hampir 20,000 ribu kes positif baharu dicatatkan di Malaysia berbanding 10,576 kes dalam tempoh 6 bulan sebelumnya sekali gus menjadikan keseluruhan kes positif setakat 30 Oktober 2020 ialah 30,090 kes dengan 246 kematian.

Advertisements


“Peningkatan kes Covid-19 secara mendadak telah memberi tekanan kepada para frontliners kita. Di negeri Sabah sahaja lebih 300 petugas barisan hadapan telah dijangkiti Covid-19 dan lebih 1,200 petugas dikenakan kuarantin. 

“Terdapat anggota polis yang terkena jangkitan Covid-19 dan setakat ini hampir 11,000 anggota terpaksa dikuarantin. Keadaan ini menambah kekangan pasukan polis terutamanya bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan. We can’t fail our frontliners,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin meminta semua ahli Parlimen dapat mengenepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain. Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk membolehkan Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang kita hadapi pada masa ini. 

“Matlamat kita hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan Covid-19 dan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan membentangkan Bajet 2021 di Dewan Rakyat pada 6 haribulan November ini yang akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. 

“Saya tahu ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19. Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup. Lebih 800 ribu orang telah kehilangan pekerjaan. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian.

“InsyaAllah, dalam bajet yang akan dibentangkan nanti, kerajaan akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban yang ditanggung oleh saudara dan saudari sekalian dalam menghadapi zaman yang sukar ini,” tambahnya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan