34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Demi rakyat, sokong belanjawan, henti berpolitik seketika

Mesti Baca

“MARILAH kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan.” – Itulah permintaan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas ke seluruh negara, semalam.

Perdana Menteri membuat permintaan itu bagi mengajak semua pihak khususnya ahli Parlimen tidak kira pembangkang mahukan kerajaan untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.

Seperti mana ditegaskan oleh beliau, belanjawan itu akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan,bantaun kepada rakyat dan insentif kepada sektor korporat, 3 industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19 memulihkan ekonomi negara.

Justeru diharapkan sama ada parti dalam kerajaan mahupun pembangkang berhentilah seketika untuk berpolitik.

Apatah lagi Perdana Menteri sudah menunjukkan keterbukaannya apabila Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan berjumpa beberapa pemimpin Pakatan Harapan hari ini untuk berbincang berhubung belanjawan berkenaan.

Langkah itu sekaligus memenuhi permintaan pembangkang yang melalui Majlis Presiden pakatan itu mengesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan perbincangan secara rasmi berhubung Belanjawan 2021.

Perbincangan itu diharapkan akan menamatkan spekulasi dan kegusaran banyak pihak bahawa pembangkang tidak akan menyokong belanjawan tersebut kerana alasan Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Pada saat negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini, semua pihak perlu mengenepikan soal politik buat seketika, tumpuan ialah memastikan belanjawan itu diluluskan sekaligus membolehkan usaha memulihkan ekonomi negara dan mengurangkan kesengsaraan rakyat akibat kesan pandemik itu dapat dilakukan.

Di pihak UMNO, penulis fikir tidak ada masalah apabila UMNO sudah memberikan komitmen akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat kepada rakyat dapat diluluskan.

Dalam soal ini, penulis yakin Perdana Menteri amat memahami keadaan itu sebab itulah beliau meminta semua ahli Parlimen menyokong belanjawan berkenaan kerana ‘kerajaan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat.’’

Namun begitu segala usaha dan matlamat itu tidak akan tercapai jika ada mana-mana ahli Parlimen masih berniat bermain politik dan melihat ini detik terbaik untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Seperti mana ditegaskan oleh Muhyiddin di Pagoh, semalam, tidak guna berpolitik jika ia tidak berfaedah kepada kehidupan rakyat, terutama ketika menularnya pandemik Covid-19.

Justeru itulah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi yang terkesan akibat penularan wabak tersebut.

Titah Al-Sultan Abdullah itu amat tepat sekali kerana rakyat sudah muak dengan politik yang gelombangnya terus bergelora sejak Mac lalu.

Sememangnya sidang Dewan Rakyat yang akan bermula esok amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia, mereka ingin menyaksikan sejauh manakah ahli-ahli politik yang mereka pilih dalam pilihan raya benar-benar berjuang untuk kepentingan rakyat atau mementingkan kuasa politik semata-mata, apatah lagi ketika saat-saat sukar sekarang – ZULKIFLEE BAKAR

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan