36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Apabila Melayu hilang semangat Dato’ Seri Maharaja Lela

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

BARU-BARU ini Dato’ Hamidah Osman, Pengerusi parti PUTRA Perak telah menggemparkan ramai dengan mendedahkan isu rumah Dato’ Seri Maharaja Lela di kawasan Kompleks Sejarah Pasir Salak, Kampung Gajah, Perak.

Hamidah menyuarakan kekesalannya terhadap kegagalan semua pihak terutama kerajaan negeri dan pemimpin tempatan sehingga sanggup membiarkan rumah tersebut musnah terbiar hingga menjadi sarang penagih dadah.

Ruang berita besar yang diberikan oleh media utama tempatan telah memberi tamparan hebat kepada kerajaan negeri, sehingga Exco Pelancongan negeri, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi terpaksa menjawab dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 serta-merta untuk membaiki rumah tersebut yang kononnya akan dibaiki pada tahun hadapan.

Sebagai anak jati Kampung Gajah, penggiat aktiviti pelancongan daerah Perak Tengah dan pencinta sejarah tanahair, isu Kompleks Sejarah Pasir Salak, termasuk rumah Dato’ Seri Maharaja Lela, bukanlah isu baru kepada saya kerana saya sendiri sudah puas bersuara sejak tahun 2002 lagi.

Pada ketika itu, kelihatan tanda-tanda kompleks ini akan dibiarkan, dengan kemusnahan yang sudah mula kelihatan satu per satu.

Bermula dengan saranan kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Tajol Rosli Ghazali, hinggalah siri pendedahan media oleh saya sendiri yang boleh diakses melalui carian google hingga kini.

Manakala Nolee sendiri pernah saya bawa bersama rombongan pegawai-pegawai kerajaan negeri serta bekas Ketua Pengarah Muzium Negara, Dato’ Dr. Kamarul Baharin b. Buyong (orang yang bertanggungjawab membangunkan Kompleks Sejarah Pasir Salak) pada bulan Mac 2016 untuk meninjau sendiri kemusnahan kompleks berkenaan. Tetapi tiada sebarang hasil.

Sehinggalah tindakan Hamidah menjadi wake up call yang difahamkan turut menjadikan pemimpin nombor satu Perak melompat kepanasan.

Sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Hamidah pastinya dapat merasakan kesahihan peruntukan dan komitmen kerajaan negeri yang telah diumumkan secara mengejut. Ini kerana, Nolee sendiri baru sahaja menghadiri dan melawat kawasan sekitar kompleks tersebut dua hari sebelum sidang media.

Hamidah di hadapan rumah Maharaja Lela. Jika benar sudah ada peruntukan, jarang orang politik tidak mengambil kesempatan untuk membuat pengumuman.

Difahamkan ‘keraguan’ Hamidah ini telah menjadikan mereka sangsi dan mahu terus memantau pengumuman tersebut sehingga baik pulih dijanjikan akan terlaksana segera.

Umum mengetahui, sejarah Pasir Salak mencatatkan bagaimana Dato’ Seri Maharaja Lela didapati bersalah membunuh J.W.W. Birch, residen Inggeris pada 2 November 1875 di Pasir Salak, apabila mahkamah yang bersidang pada dari 14 Disember hingga 22 Disember 1876 di Matang, Perak. Beliau telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877 di Taiping, Perak.

Kompleks sejarah ini adalah lambang kepahlawanan dan keberanian orang Melayu dalam menentang penjajahan Inggeris. Legasi warisan bangsa ini amat penting untuk dihayati. Namun, mengapakah tidak ramai anak Melayu khususnya pemimpin tempatan untuk mempertahankan legasi ini?

Kompleks itu adalah ilham Tan Sri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak yang kelapan (1983-1999). Ini merupakan legasi yang menjadi hak milik negara yang gagal dipertahankan oleh pemimpin dan generasi selepas beliau.

Jika dilihat ketokohan pemimpin selepas beliau, Parlimen Pasir Salak mempunyai pemimpin politik yang bernama dan berjawatan besar seperti Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman (Bekas Timbalan Menteri Pertanian/Ahli Majlis Tertinggi UMNO), Dato’ Zainol Padzi Paharudin (bekas exco Perak dan Bendahari parti Bersatu Perak), Azwan b. Harun@Azwan Bro (Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia), Dato’ Dr. Wan Norashikin Bt. Wan Noordin (kini ADUN Kg Gajah/Ketua Wanita UMNO Perak).

Namun, mengapakah kompleks sejarah ini terbiar musnah? Di manakah juga suara-suara pertubuhan bukan kerajaan lain, parti-parti politik selain UMNO seperti PAS, AMANAH, PKR dan lain-lain dalam memperjuangkan legasi bangsa ini?

Kemudahan kompleks ini bukan sahaja mempunyai nilai sejarah penting tanahair tetapi juga sumbangan kepada kegiatan ekonomi yang begitu meriah suatu masa dahulu.

Kemusnahan kompleks sejarah Pasir Salak menjawab pelbagai persoalankelemahan Melayu hari ini. Antaranya ialah kehilangan jatidiri bangsa, permusuhan politik dan perebutan kuasa, kemunduran ekonomi serta sikap tidak kisah bangsa Melayu itu sendiri.

Akibatnya, kita tidak belajar daripada sejarah yang dibawa oleh Dato’ Seri Maharaja Lela, Dato’ Sagor dan pahlawan-pahlawan yang lain ketika menentang penjajahan Inggeris sehingga kita tidak sedar bahawa kita sedang dijajah dari aspek minda, ekonomi dan penguasaan kuasa politik yang semakin dicabar.

Bagaimanakah hendak bercakap tentang perjuangan dan pembangunan negara, sedangkan Kompleks Sejarah Pasir Salak pun tidak mampu untuk kita pertahankan?

  • Penulis adalah Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan