27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Beri bantuan kewangan rakyat terjejas PKPD, PKPB – Tok Mat

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan diharap akan mempertimbangkan bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin terbeban, terutamanya di kawasan terbabit pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini selepas Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dalam laporan terbarunya menurunkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar tahun 2020 kepada -5.5 peratus.

Menurutnya, penurunan unjuran itu adalah berdasarkan kepada penurunan besar kadar pertumbuhan ekonomi dalam suku kedua pada -17.1 peratus, lonjakan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan kembali PKPB serta tiadanya langkah-langkah mitigasi tambahan kerajaan pada suku sebelumnya, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Rentetan dari itu, saya berharap Kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin terbeban, terutamanya di kawasan PKPD dan PKPB.

“Pakej rangsangan ekonomi negara sebelum ini terbukti berjaya meringankan beban rakyat dan menjamin aliran tunai perniagaan, namun telah berakhir pada masa yang genting ini.

“Inisiatif program PENJANA juga perlu dilanjutkan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) demi mengekalkan pekerja dan mengelakkan peningkatan kadar pengangguran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad pada masa sama mencadangkan, gelombang ketiga Covid-19 kini dijangkakan akan melambatkan pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021.

“Justeru, saya berharap Kerajaan Malaysia akan meningkatkan usaha memulihkan ekonomi dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan dinamik.

Advertisements

“Kita tidak boleh melengahkan masa dengan persoalan pertumbuhan ekonomi. Vietnam dijangka akan memintas Malaysia pada tahun 2020 untuk menjadi ekonomi ke-4 terbesar di Asia Tenggara, di samping menjadi antara negara yang terbaik di rantau ini untuk pelaburan.

“Usaha mesti digiatkan untuk mempercepatkan ‘economic recovery and reseting’ dengan membenarkan demokrasi berfungsi, pelaburan terpilih diberikan insentif khas, sempadan dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dan syarat melakukan perniagaan di permudahkan lagi,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata, keyakinan perniagaan dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bergantung besar kepada konsistensi dan kejelasan polisi sedia ada.

Beliau memberitahu, setiap polisi dan dasar kerajaan dalam memerangi pandemik ini perlu wajar, berasaskan bukti saintifik, mengambil kira kepentingan awam dan tidak mengelirukan.

Oleh itu katanya, beliau berharap Kerajaan Malaysia mempertimbangkan pembentukan sistem amaran berperingkat yang lengkap dan konsisten sebagai pengganti pengumuman pengubahsuaian SOP pada saat terakhir.

“Sistem amaran berperingkat seperti yang dijalankan di beberapa negara lain akan memaparkan perbezaan tahap kecemasan dalam krisis Covid-19 berasaskan nombor pembiakan virus dan jumlah kes yang disahkan.

“Setiap peringkat amaran ini mempunyai protokol dan sekatan yang tetap dan tidak akan diubahsuai sewenang-wenangnya, terutamanya dari segi SOP di tempat kerja. Protokol yang ditetapkan juga mestilah melalui proses rundingan dengan pihak berkepentingan dengan mengambil kira keseimbangan antara kelestarian perniagaan dan kesihatan pekerja,” tambahnya.

Mohamad menegaskan, beliau mengulangi pendiriannya bahawa pandemik Covid-19 hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan negara.

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan