25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Arab Saudi belum putuskan kebenaran umrah jemaah Malaysia

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Agensi pengendali umrah Malaysia masih belum menerima sebarang ketetapan mengenai kebenaran ibadah itu bagi jemaah dari negara ini sekali gus memungkinkan penggantungan lebih lama berikutan peningkatan kes Covid-19.

Menurut Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, semasa pertemuan dengan wakil Duta Arab Saudi ke Malaysia semalam, pihaknya dimaklumkan Riyadh belum membuat sebarang keputusan walaupun jemaah negara lain dibenarkan mengerjakan ibadat itu mulai 1 November ini.

Katanya, beliau turut difahamkan bahawa pihak Arab Saudi masih membincangkan perkara itu dengan Kementerian Luar dan setakat ini mereka tidak menerima apa-apa makluman mengenainya.

Menjawab implikasi sekiranya ibadah umrah masih disekat, Razali berkata, kebanyakan syarikat pengendali umrah bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“PAPUH menjangkakan Januari depan pun belum tentu kebenaran umrah diberikan kepada rakyat Malaysia memandangkan kes kini tiga digit.

“Kami di pihak agensi kebanyakannya reda dengan situasi semasa kerana tidak ada apa-apa tindakan yang boleh dilakukan buat masa ini,” katanya yang dipetik Berita Harian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaari, berkata, Kabinet akan memutuskan dalam masa terdekat berhubung kebenaran membenarkan rakyat Malaysia mengerjakan umrah apabila Arab Saudi membenarkan semula pelaksanaan ibadat itu mulai 1 November ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancong Bumiputera (BUMITRA), Mohd Ali Ab Malek berkata, buat masa ini pihaknya tidak menerima sebarang penjelasan berhubung kuota mahupun kebenaran umrah bagi jemaah Malaysia.

“Setakat yang kami tahu, Malaysia dan Arab Saudi sedang membincangkan perkara ini.

“Arab Saudi juga belum mengeluarkan arahan mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi jemaah, antaranya berapa orang dibenarkan duduk sebilik, jumlah penumpang sekiranya menaiki bas dan garis panduan dalam pesawat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kerajaan berhubung kuota dan kebenaran umrah.

“Isu kebenaran semula umrah ini memerlukan penelitian kerana ia berkait isu kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Jika dibuka semula, tentunya agensi umrah yang terjejas teruk dapat merancakkan semula ekonomi syarikat, tetapi apa yang lebih penting adalah ia tidak mendatangkan kemudaratan.

“Lebih baik menunggu keputusan kerajaan yang tentu lebih arif mengenai situasi semasa negara,” katanya.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan