25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Anwar tak kemuka senarai nama – Istana Negara

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Istana Negara hari ini memaklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Parlimen yang menyokong beliau ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Datuk Pengelola Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadli Shamsudin berkata, dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Presiden PKR itu telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut. Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan kira-kira dua jam selepas Anwar dalam sidang akhbar selepas menghadap Seri Paduka menyatakan telah menyerahkan dokumen untuk membuktikan sokongan ahli Parlimen kepada beliau.

Kata Anwar, dokumen itu adalah dokumen sahid yang terdiri daripada akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti.

Menurut Ahmad Fadzli, sesi menghadap ini sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 22 September lalu tetapi ditangguhkan ekoran daripada kegeringan Al-Sultan Abdullah di mana Seri Paduka telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara bermula pada 21 September hingga 3 Oktober lalu.

Berikutan kenyataan Istana Negara itu, pelbagai spekulasi mulai timbul sama ada Anwar benar-benar mempunyai jumlah sokongan majoriti seperti mana beliau dakwa atau tidak.

Bagaimanapun Anwar pada sidang medianya mendakwa mempunyai sokongan mencecah lebih 120 ahli Parlimen dan meminta semua pihak memberikan ruang kepada Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab menelaah dokumen dan memanggil ketua parti, mengesahkan dan mendapatkan input sebaik-baiknya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan