31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Anwar PM Malaysia?Biarlah Agong tentukan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai sokongan lebih daripada 120 Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau telah menyampaikan bukti berupa surat akuan sumpah  (SD) dan pengesahan ketua parti berkaitan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

AL-SULTAN ABDULLAH bergambar bersama Anwar Ibrahim di Istana Negara. foto FACEBOOK ISTANA NEGARA


Anwar menjelaskan, beliau dimaklumkan bahawa Baginda (Yang di-Pertuan Agong) memerlukan masa untuk mengesahkan keabsahan dokumen berkenaan, termasuk mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua parti politik.


“Saya pohon semua pihak beri ruang kepada Agong menjalankan tanggungjawab mengikut lunas perlembagaan, dan juga budi bicara Tuanku untuk menelaah dokumen dan dalam satu dua hari ini, panggil ketua parti untuk mengesahkan dan juga mendapat input sebaiknya,” katanya lagi.


Jika benar dakwaan Anwar ini, ‘impian’ beliau untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia akhirnya tercapai selepas banyak kali ‘dinafikan’ meski pun sudah sebelah kaki untuk jawatan nombor satu dalam negara itu.


Daripada dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 1993 sehingga pemecatannya pada 1998, Anwar juga pernah mendakwa 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat pada September 2008.


Malah, sewaktu PH menang Pilihan Raya Umum ke-14, Anwar ‘dijanjikan’ jawatan perdana menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.


Namun, ‘cita-cita’ Anwar sekali lagi tidak kesampaian selepas Dr Mahathir meletak jawatan Februari lalu sehingga Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri, Mac lalu.


Namun, dua hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 diadakan, Anwar membuat pengumuman mengejut bahawa beliau memiliki majoriti sokongan ahli Parlimen yang ‘meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Beliau turut menyatakan menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dipanggil menghadap pada tarikh 22 September lalu, namun acara menghadap terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini berikutan Seri Paduka Baginda gering dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

Tambah menarik, Anwar turut menyatakan sebuah kerajaan ‘bumiputera Islam’ bakal terbentuk, dengan spekulasi 121 ahli Parlimen dikatakan bakal menyokong beliau termasuk 19 ahli Parlimen daripada parti UMNO.

Polemik politik negara menjadi semakin panas apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui, beliau tidak dapat menghalang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Anwar kelak.

Bagaimanapun, persoalan terus timbul apabila sebahagian besar Ahli Parlimen UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan dakwaan Anwar.


Malah, polis dilapor akan menjalankan siasatan ke atas Anwar berikutan dakwaan sokongan majoriti yang dimilikinya itu.


Persoalannya adakah Anwar benar-benar mempunyai angka sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan?


Ditanya sama ada beliau telah membuat perjanjian dengan mana-mana ahli parlimen pihak lawan, termasuk mereka yang mempunyai kes mahkamah pada sidang media hari ini, Anwar berkata, beliau tidak ada dendam dengan sesiapa.“Nombor satu, ini merupakan kerajaan inklusif. Saya tiada dendam dengan sesiapa. Keduanya, saya telah berulang kali menegaskan kita komited terhadap reformasi institusi dan kehakiman.


“Apa yang boleh saya tegaskan, saya tidak mempunyai dendam. Tetapi mereka harus menerima dan menjalani proses keadilan dengan sewajarnya,” kata Anwar.


Ditanya sama ada sokongan itu termasuk parti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar berkata: “Senarai itu akan dikeluarkan nanti”.


Walau apapun, sejauh mana dakwaan Anwar ini, biar lah Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengikut kebijaksanaan baginda.


Apa yang pasti, rakyat tidak mahukan kestabilan politik negara tergugat sekali gus menjejaskan ekonomi Malaysia di tengah-tengah penularan Covid-19.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan