KUALA LUMPUR – Adalah menjadi kewajiban bagi parti-parti di bawah Muafakat Nasional (MN) meneguhkan lagi perpaduan yang dibina sejak pembentukan gabungan itu setahun lalu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia perlu dibuat agar memenuhi syarat-syarat kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang menegakkan agama-Nya.
“Semestinya menjadi suatu kewajipan, perpaduan yang telah kita bina ini diteguhkan lagi, agar memenuhi syarat-syarat kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang menegakkan agama-Nya.
“Selamat Hari Ulang Tahun Muafakat Nasional yang pertama. Islam Memperkukuh Perpaduan,” tulisnya di Facebook bersempena ulang tahun pertama gabungan politik itu, malam tadi.
Selain Abdul Hadi, beberapa pemimpin UMNO dan Pas turut menyampaikan ucapan mereka sempena ulang tahun pertama pembentukan gabungan politik itu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut serta menyampaikan ucapan sempena ulang tahun pertama MN.
“Sempena ulang tahun pertama Penyatuan Ummah, saya dan keluarga besar UMNO mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun MUAFAKAT NASIONAL kepada seluruh pimpinan dan ahli PAS serta ummah di Malaysia keseluruhannya,” tulis beliau di Facebook.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hari ini 14 September genap setahun MN lahir yang mana sengketa lebih 60 tahun tamat.
“Tak pernah perpaduan itu rugi dan tak pernah perpecahan itu untung,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad menafikan bahawa Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO selepas ini yang akan disertai Bersatu merupakan wadah yang memperjuangkan atau bersifat perkauman untuk Melayu.
Jelas beliau, permulaan pembentukannya memerlukan Penyatuan Ummah melibatkan kaum Melayu kerana teras dan majoriti penduduk ini yang dipunyainya di mana mereka mesti diikat untuk berteguh terlebih dahulu.
Terangnya, dengan kekuatan yang wujud dari asas ini akan mengikat pula hubungan dengan kaum-kaum lain dalam negara ini seterusnya menaungi seluruh seluruh masyarakat majmuk Malaysia.
“Kerana itulah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seringkali mengulang-ulang bahawa negara ini mesti dibina semula oleh parti-parti yang pernah bersama terlibat dalam pembentukan negara dan kemerdekaan dahulu.
“Hari ini, semua kesatuan ini sekali lagi berulang berada bersama dalam Perikatan Nasional. Kita juga sudah saksikan peralihan sokongan rakyat termasuk kaum-kaum bukan Melayu kepada gabungan baharu ini yang semakin diyakini dan kuat.
“PH hari ini sudah kehilangan mandat sokongan rakyat. Maka mereka pun membawa propaganda untuk melihat perpaduan ini kembali berpecah-belah. Generasi ini tak akan mengulangi kesilapan itu lagi, in sya Allah,” katanya.