26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

OKT nekad loloskan diri bonceng motosikal teman lelaki

Mesti Baca

RAUB –  Ibarat aksi filem, seorang tahanan wanita yang baru selesai menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini semalam dan masih bergari bertindak nekad meloloskan diri dengan melompat motosikal yang ditunggang teman lelakinya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, anggota polis bertugas  mengiringi 12 orang kena tahan (OKT) naik ke lori polis untuk di bawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub termasuk wanita berusia 23 tahun tersebut.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, semasa sedang memerhatikan OKT menaiki lori, tiba-tiba datang seorang lelaki Melayu menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam dari arah belakang anggota polis dan terus berhenti di tepi OKT wanita terbabit.

“OKT wanita itu kemudian melompat ke atas motosikal dan penunggang (motosikal) terus memecut laju meninggalkan perkarangan parkir mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kama Azural berkata, anggota polis mengejar motosikal terbabit namun gagal menghalang pasangan itu melarikan diri disebabkan dia terjatuh dan cedera.

“OKT wanita itu melarikan diri dalam keadaan kedua tangannya masih bergari,” katanya.

Kama Azural berkata, OKT wanita tersebut dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 39C (1) ADB 1952.

“Wanita itu berasal dari Kampung Ulu Lepar Dong, Raub dan sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Raub semalam dan mengaku tidak bersalah dan sebutan semula kes pada 29 September depan,” katanya.

Katanya, polis sudah mengenal pasti teman lelaki wanita itu yang berusia 22 tahun dan berasal dari Kampung Pulau Kabong Budu, Benta, Lipis.

“Usaha mengesan pasangan itu sedang giat dijalankan dan keluarga mahupun orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Hebahan di daerah bersebelahan juga telah dibuat bagi membantu mengesan suspek dan orang ramai diminta tidak bersubahat dengan kedua-dua suspek,” katanya.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan