JOHOR BAHRU – Sebagai menghargai jasa bekas pemainnya, Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) hari ini merasmikan tempat duduk, Luciano Figueroa Stand di dalam stadium baharu kelab itu, Stadium Sultan Ibrahim.
Ia sekali gus menjadi tempat duduk pertama di Stadium Sultan Ibrahim yang dijenamakan sempena nama legenda pasukan.

Turut hadir adalah Duta Besar Argentina ke Malaysia, H.E Manuel Balaguer Salas.
“Kelab ini akan sentiasa memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada orang yang berjasa dan mencipta sejarah kepada kelab,” titah Tunku Ismail.

Figueroa menyertai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2014 dan kekal selama dua musim sebagai pemain, menjaringkan 43 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 71 perlawanan, sebelum menjadi Pengurus pada bulan Ogos 2018.
Beliau juga pernah berkhidmat di JDT sebagai Duta Kelab pada tahun 2017.
Bekas pemain kebangsaan Argentina ini memenangi dua kejuaraan Liga Super Malaysia (2014 & 2015), Piala Sumbangsih 2015 dan Piala AFC 2015 sebagai pemain.
Figueroa juga berjaya memenangi dua lagi Piala Sumbangsih (2019 & 2020), Liga Super 2019 dan juga Piala Malaysia 2019 sebagai pengurus. Luaskan Kuasamu Johor.