Sunday, July 19, 2026

JDT bakal jalin kerjasama dengan kelab paling berjaya Perancis

Mesti Baca

JOHOR Darul Ta’zim FC (JDT) bakal menjalinkan kerjasama dengan kelab bola sepak terkemuka Perancis, Paris Saint-Germain FC (PSG) dalam beberapa bidang.

Ia hasil pertemuan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail dan Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi semasa mereka menyaksikan sesi latihan pasukan itu di Stadium 974 di Doha, Qatar semalam.

Tunku Mahkota Ismail menerusi hantaran dalam media sosialnya bertitah, baginda dijemput sebagai tetamu khas Nasser bagi menyaksikan latihan tersebut.

“Tunku Mahkota Ismail mewakili Johor Darul Ta’zim bagi perbincangan antara pengurusan tertinggi PSG dan JDT mengenai partnership antara kedua-dua kelab tersebut dalam aspek penjenamaan, infrastruktur dan pembangunan akar umbi. 

“Baginda juga bertemu dengan para pemain PSG dan turut dijemput untuk menghadiri perlawanan Trophee des Champions antara PSG menentang AS Monaco di Doha malam ini,” menurut hantaran tersebut.

Untuk rekod, PSG merupakan kelab paling berjaya di Perancis dengan meraih 50 gelaran di peringkat kebangsaan iaitu 12 kali juara Ligue 1, Coupe de France (empat kali), Coupe de la Ligue (sembilan) dan Trophee des Champions sebanyak 12 kali.

Di peringkat Eropah, PSG pernah menjuara Piala UEFA pada musim 1995/1996 dan kini menghuni puncak Ligue 1 Perancis dengan mencatatkan 12 kemenangan dan empat kali seri serta tanpa kekalahan dalam 16 perlawanan setakat ini. – Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan