29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pencerobohan Lahad Datu: Pemimpin politik bidas Mohamaddin

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pemimpin politik tanah air membidas kenyataan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 sebagai suatu ‘sandiwara’.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan Mohamaddin yang menyifatkan pencerobohan Lahad Datu tujuh tahun lalu sebagai sandiwara jelas menghina dan tidak menghormati pengorbanan anggota pasukan keselamatan.

Beliau yang merupakan Menteri Pertahanan ketika peristiwa itu berlaku berkata, pasukan keselamatan dari seluruh negara telah menggadaikan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan Sabah dalam insiden tersebut.

“Ia pasti menghiris perasaan seluruh anggota keselamatan terutama keluarga 10 anggota yang terkorban dalam peristiwa Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

“Sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya menafikan tuduhan fitnah mengenai insiden pencerobohan Lahad Datu dan mengesahkan Ops Daulat adalah langkah terbaik kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi ancaman pengganas,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Beliau menambah, rakyat Sabah diseru menolak calon-calon seperti ini.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berkata, ucapan pemimpin kanan Warisan itu merupakan penghinaan terhadap pasukan keselamatan yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Angkatan tentera melancarkan serangan di kawasan pengganas yang masih bersembunyi di Kampung Tanduo, Lahad Datu – Bernama.

“Di manakah rasa hormat pemimpin parti Warisan ini kepada anggota keselamatan Malaysia yang telah terkorban semasa mempertahankan kedaulatan bumi Sabah?” soalnya.

Anifah berkata, kenyataan pemimpin itu tidak boleh diterima dan melukakan hati keluarga dan rakan seperjuangan pasukan keselamatan.

“Seharusnya parti Warisan bermuhasabah dan malu dengan kenyataan yang jijik ini. Rakyat seharusnya menolak pimpinan Warisan yang sebegini.”

Berucap semasa kempen untuk calon Parti Warisan Sabah (Warisan) baru-baru ini, Mohamaddin berkata, situasi itu dikatakan berlaku apabila kononnya UMNO akan kalah kepada PKR.

Menurutnya, ketika itu ketegangan telah mencetuskan ‘perang’ dan ramai orang mati disebabkan kejadian berkenaan.

“Sandiwara bohong membunuh orang. Kamu ingat dahulu PRU yang lalu, dia bilang Filipina mau ambil Sabah, jadi ada peperangan, datanglah jet dibomnya kelapa sawit orang, habis semua kelapa sawit orang.

“Habis rumah orang, koyak ditembak, ini kenyataan. Disuruh kereta kebal masuk kampung suruh berperang sama ayam, ayam sama anjing lawan dia berperang, apabila habis pilihanraya tiada pula peperangan itu.

“Tetapi saya ingat, saya wakil rakyat Lahad Datu,” katanya semasa kempen ceramah berkenaan.

Video rakaman kempen Mohamaddin itu kini mula tular dalam media sosial.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan dakwaan Mohamaddin berhubung pencerobohan Lahad Datu pada 2013 sebagai sandiwara adalah kenyataan gila.

Menurutnya, beliau sebelum ini menyangka Mohamaddin hanya angkuh dan tidak kompeten kerana masyarakat masih ingat beliau sombong apabila mengatakan tak perlu tutup sempadan kerana pelancong tidak akan ada penularan Covid. 

“Rupanya lebih teruk daripada itu, tidak layak langsung memegang apa-apa jawatan awam apatah lagi YB (Yang Berhormat) atau Menteri.

“Sebelum ini saya menyangka Warisan menghasut secara halus dengan mesej untuk menolak kononnya parti Malaya. Tapi ini sudah masuk kepada kebencian terbuka pada satu tahap yang tak masuk akal.

“Jelas, Unity yang terpampang di billboard serata Sabah tiada nilai langsung. Unity apa sehingga menghasut dan menghina rakyat dan wira Malaysia?” katanya.

Shahril Sufian berkata, sewaktu pasukan keselamatan beraksi mempertahan kedaulatan di Tanduo, tidak seorang pun yang beranggapan mereka orang Terengganu, orang Selangor dan orang Sabah.

“Mereka wira Malaysia yang mempertahankan tanah dan nyawa warganegara dari ancaman luar. Ada yang terbubuh. Rakyat tempatan juga ada yang terkorban. Tetapi semua berkongsi kesedihan kerana ini bukan soal sentimen kenegerian. Ini soal kedaulatan dan pengorbanan untuk sebuah negara bernama Malaysia dan rakyatnya yang pelbagai.

“Saya syorkan Warisan tukar billboard dari Unity ke “Hate“. Kerana itu sebenarnya modal politik mereka,” tambahnya. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan