30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Letak ‘racun’ pada bubur murid, guru dihukum mati

Mesti Baca

BEIJING – Seorang guru tadika di China dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah meracun puluhan kanak-kanak dalam satu kes balas dendam terhadap rakan sekerja yang menyaksikan seorang budak maut.

Sebuah mahkamah di wilayah Henan tengah China berkata, Wang Yun didapati meletakkan sodium nitrat ke dalam bubur yang disediakan untuk murid mengakibatkan 25 daripadanya jatuh sakit.

Kejadian yang berlaku pada Mac 2019 itu mengakibatkan seorang kanak-kanak sakit teruk selama beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia awal tahun ini.

Memetik AFP, Mahkamah Rakyat Bandar Jiazou berkata, Yun tahu sodium nitrat berbahaya namun tetap meneruskan rancangan meletakkan bahan itu tanpa mengira kesan sekali gus kanak-kanak tidak berdosa terlantar di hospital.

Laporan media tahun lalu menyebut, murid yang makan bubur beracun itu mula muntah dan pengsan selepas makan hidangan pagi itu.

Kanak-kanak tadika di China berumur antara tiga dan enam tahun.

Hukuman mati dijatuhkan ke atas Yun minggu ini atas kesalahan menggunakan barang larangan.

Sodium nitrat digunakan untuk mengawet daging namun berbahaya jika digunakan dalam jumlah yang banyak.

Menurut mahkamah, Yun merahsiakan sebab dia meletakkan racun pada bubur itu dan motif perbuatan itu wajar dibenci.

Menurut kenyataan hukuman itu, perbuatan dan keadaan jenayah itu terlalu teruk dan dia layak dihukum mengikut undang-undang. 

Mahkamah memberitahu, Yun dan pengurus tadika itu perlu membayar ganti rugi kepada keluarga kanak-kanak terlibat.

Menurut pihak berkuasa, ini bukan pertama kali Yun menggunakan sodium nitrat untuk meracun seseorang.

Pada 2017, dia pernah meletakkan bahan itu pada bekas minuman suaminya mengakibatkan lelaki itu cedera ringan.

Mac lalu, sebanyak 36 murid tadika di wilayah Sichuan dikejarkan ke hospital selepas makan hidangan tercemar. – AGENSI

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan