26.8 C
Kuala Lumpur
Monday, February 10, 2025

Calon UMNO jadi perbualan, hubungan BN, PN jadi persoalan

Mesti Baca

PENGUMUMAN calon daripada UMNO yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini oleh Pengerusi Perhubungan, Bung Mokhtar Radin di Kota Kinabalu hari ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena bukan sahaja dalam parti tersebut malah dalam komponen Barisan Nasional (BN) serta kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Mengikut perancangan awal, BN dan PN akan mengumumkan calon tetapi majlis tersebut telah digantikan dengan Majlis Mesra BN-PN. Tidak sampai dua jam kemudian, Bung Mokhtar pada satu sidang media mengumumkan senarai calon daripada UMNO.

Musa Aman tidak dicalonkan oleh UMNO Sabah.

Pengumuman itu yang menyaksikan UMNO akan bertanding di 31 kerusi daripada 73 kerusi menarik perhatian apabila Tan Sri Musa Aman tidak disenaraikan atas alasan,:

“BN tidak beri kerusi kepada beliau sebab bekas Ketua Menteri Sabah itu tidak memintanya dan pada masa BN pun tidak menawarkan beliau apa-apa kerusi.”

Walaupun Musa dianggap salah seorang tokoh politik Sabah yang dihormati dan telah lama berjuang dalam UMNO termasuk menjadi ADUN BN di DUN Sungai Sibuga sejak 1994, namun kali ini ‘bisa’ Musa seolah-olah tidak ditagih oleh BN Sabah sebaliknya seorang lagi bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak disenaraikan.

Salleh yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dari Disember 1994 hingga Mei 1996 dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi DUN Usukan yang kini disandang oleh Datuk Japlin Akim. Bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah itu bagaimanapun tidak dicalonkan.

Berdasarkan senarai calon UMNO itu juga ia menyaksikan, kemunculan pertama kali Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Yakubah Khan dalam gelanggang pilihan raya apabila dipilih untuk bertanding di kerusi DUN Karambunai.

Dua bekas Ahli Parlimen turut disenaraikan semula iaitu bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Jumaat Idris yang akan bertanding di kerusi DUN Darau dan bekas Ahli Parlimen Tenom, Raime Unggi yang akan bertanding di DUN Kemabong.

Turut menarik perhatian pemilihan Kamarlin Ombi di DUN Lumadan dan James Ratib di DUN Sugut. Kamarlin sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat Lumadan selama dua penggal tetapi tidak dipilih bertanding dalam pilihan raya umum lalu, James pula sebelum ini menang di DUN Sugut atas tiket UMNO tetapi melompat ke UPKO namun kembali semula ke dalam UMNO pada Jun.

Advertisements

Namun begitu yang lebih menjadi perhatian ialah sejauh manakah senarai UMNO Sabah tersebut mampu memastikan kemenangan parti itu walaupun ia dikatakan melibatkan 95 peratus muka baru?

Pada 21 Ogos lalu, Bung Mokhtar memberi jaminan 85 peratus muka baru daripada kalangan belia bakal bertanding mewakili BN dalam PRN Sabah.

Daripada senarai yang diumumkan calon paling muda ialah Hazulizah Mohd , 35, yang akan bertanding di DUN Sekong dalam Parlimen Batu Api manakala calon paling tua ialah Hamild @ Hamid Awang berusia 65 tahun yang akan bertarung di DUN Balung dalam Parlimen Tawau.

Dari segi umur, terdapat tiga calon berusia 35 hingga 39 tahun, enam calon berusia 41 hingga 49 tahun, 14 calon berusia 50 hingga 59 tahun dan tujuh calon berusia 60 hingga 63 tahun.

Perikatan Nasional bertanding menggunakan lambang sendiri.

Bung Mokhtar dan UMNO Sabah yang diberikan otonomi untuk memilih calon sudah tentu membuat keputusan sebaik-baiknya, walaupun pemilihan Salleh menjadi bualan dan kini tanggungjawab mereka adalah bagi memastikan keputusan mereka benar-benar akan mampu memberi kemenangan kepada BN.

UMNO dan BN juga berhadapan dengan ujian apabila PN turut mengumumkan akan bertanding di 29 kerusi sekaligus menyaksikan pertembungan dengan BN di sekurang-kurangnya tiga kerusi iaitu UMNO lawan Bersatu di DUN Paginatan, Star lawan PBRS di DUN Tulid dan Star lawan PBRS di DUN Sook.

Kita tidak pasti sama ada pada saat-saat akhir salah satu parti akan menarik calon mereka tetapi ia sebenarnya memberikan isyarat yang tidak baik terhadap kerjasama kali pertama antara BN dan PN, apatah lagi dalam pilihan raya getir seumpama itu.

Apapun sama-samalah kita tunggu apakah senarai calon UMNO Sabah akan menyebabkan mereka dianggap kalah sebelum bertarung dan apakah hubungan BN dan PN akan terjejas di PRN Sabah? – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Richiamo jalin kerjasama dengan De Xandra, Rico Rinaldi

RICHIAMO Coffee Sdn Bhd mengumumkan kerjasama dengan pengeluar pewangi kenderaan, De Xandra serta pereka fesyen dan pengeluar pakaian terkenal...

Lagi Artikel Berkaitan