KUALA LUMPUR – Beberapa keping gambar yang menunjukkan dua buah kereta jenis Mazda dipercayai kereta klon tular di Facebook, pagi ini.
Pemilik sebuah kereta dikatakan sanggup datang dari Johor untuk menjejak ‘kembar’ keretanya sehingga di Bangi, Selangor.
Dalam hantaran di laman Facebook, Shidie Art Pelukis Rakyat, kedua-dua kereta asal dan kereta curi mempunyai warna, nombor plat dan cukai jalan yang sama.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Hasil siasatan mendapati kereta itu bukan kereta klon seperti yang didakwa sebaliknya sebuah kereta curi,” katanya yang dipetik Kosmo.
Mohd. Zaid memberitahu, kereta itu dijumpai di tempat letak kereta di Bangi, Kajang manakala pemandu kereta itu tidak dapat dikesan.
Tambahnya, kereta curi itu diletakkan di Balai Polis Bandar Baru Bangi untuk semakan sebelum dihantar ke Beserah, Kuantan, Pahang susulan laporan kes curi dibuat di sana.