28.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 12, 2024

Data pesalah rasuah SPRM siar nama dan wajah pelaku

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Amaran kepada pesalah rasuah. Gambar wajah dan nama anda akan didedahkan kepada satu ‘dunia’ jika terbabit dengan jenayah rasuah.

Memetik Harian Metro, langkah diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu pastinya akan membuat orang ramai berfikir dua kali untuk melakukannya apabila Pangkalan Data Pesalah Rasuah boleh dilayari sesiapa sahaja di portal rasmi suruhanjaya itu.

Jurucakap SPRM berkata, objektif utama inisiatif itu bertujuan menunjukkan langkah-langkah pencegahan dan memberikan petunjuk yang jelas bahawa SPRM mengisytiharkan ‘perang’ terhadap rasuah.

“Pangkalan data ini berkhidmat sebagai alat kesedaran yang penting bagi membantu orang awam dan organisasi dalam melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian sebelum mengambil, melantik atau menaikkan pangkat pekerja mereka.

“Pangkalan data ini juga memainkan peranan sebagai alat pengajaran bagi mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan rasuah selain bertindak sebagai faktor yang memberi keinsafan terhadap mereka yang disabitkan dengan kesalahan rasuah.

“Ini kerana maklumat mengenai mereka dan kesalahan dilakukan akan dipaparkan dan boleh diakses oleh orang awam selama tempoh tiga tahun bermula dari tarikh ia mula dipaparkan di laman sesawang SPRM,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, Pangkalan Data Pesalah Rasuah dibangunkan itu boleh digunakan bagi menyemak latar belakang bakal pekerja, rakan kongsi atau sesiapa sahaja yang disyaki terbabit dengan jenayah.

Menurutnya, gambar pesalah yang disabitkan bersalah oleh mahkamah akan dimasukkan ke dalam Pangkalan Data Pesalah Rasuah itu.

Advertisements

Sementara itu Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, inisiatif SPRM menyediakan pangkalan data pesalah rasuah di laman sesawang SPRM sebagai langkah baik dan perlu diteruskan.

Katanya, pangkalan data itu beroperasi sebagai satu rujukan masyarakat terutamanya dalam membantu orang awam dan organisasi dalam melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian.

“Bagi MCW, kaedah ini menunjukkan sikap serius pihak SPRM dalam memastikan rasuah diperangi habis-habisan bagi memastikan Malaysia bebas dari rasuah.

“Pangkalan data ini perlu sentiasa dikemas kini supaya masyarakat dapat mengenali dan berhati-hati dengan pesalah rasuah.

“Malah ia adalah pengajaran penting kepada setiap individu untuk menjauhi rasuah yang sekarang ini adalah musuh nombor 1 di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, kaedah yang dimulakan SPRM sejak tahun 2010 dahulu penting bagi menunjukkan SPRM tidak mengamalkan pilih kasih tanpa mengira batas politik atau ras.

“MCW menggalakkan seluruh lapisan masyarakat untuk sentiasa masuk ke pautan itu bagi mendapat maklumat yang terkini demi memerangi rasuah di negara ini,” katanya.

Advertisements

Terkini

Sze Fei-Nur Izzuddin hidup peluang di Jelajah Dunia Akhir BWF

BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menghidupkan peluang ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton...

Lagi Artikel Berkaitan