32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Syed Saddiq bayangkan tak sertai Pejuang, tubuh pergerakan belia

Mesti Baca

SUNGKAI – Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membayangkan beliau mungkin tidak menyertai Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang baru dibentuk.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau sebaliknya akan menubuhkan satu pergerakan belia berasaskan pelbagai kaum bagi memastikan suara dan kebimbangan kumpulan itu didengar.

“Pertama kalinya, tanpa mengira apa yang berlaku, saya masih menghormati dan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan perkara itu tidak berubah. Saya tahu parti yang beliau wujudkan berada di landasan betul dan beliau ikhlas dalam perjuangannya.

“Pada masa sama, saya masih menghormati Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau salah seorang yang membawa saya memasuki arena politik dan saya akan terus menyokongnya.

“Namun saya percaya masanya sudah tiba bagi pemimpin muda lain yang sebelum ini bersama Bersatu dan dipecat oleh parti untuk diberikan peluang sekali lagi menerusi Pejuang,” katanya hari ini.

Kelmarin, Pejuang menyerahkan permohonan kepada  Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Tujuh anggota pengasas Pejuang adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Marzuki Yahya, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Datuk Mohamad Suhairi Rahmat.

Syed Saddiq dalam pada itu percaya, terdapat ramai pemimpin muda di luar sana terutamanya mereka yang dipecat dari Bersatu boleh mengetuai Pejuang.

“Terdapat ramai di antara mereka yang lebih baik dari saya seperti Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin, bekas anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin yang dipecat dari Bersatu.

“Walaupun saya belum menyertai Pejuang dan masih seorang ahli Parlimen Bebas, saya masih menyokong parti pembangkang.

“Pejuang dan saya masih keluarga namun pada masa sama, masih ramai pemimpin muda lain di luar sana perlu diberikan peluang untuk mengetuai parti,” tegasnya lagi.

Sementara itu, bekas menteri belia dan sukan itu berkata, pergerakan berbilang kaumnya hanya dibentuk berdasarkan suara majoriti belia Malaysia.

” Kita seharusnya menunggu pengumuman rasmi. Bila saya menyertai politik, saya tidak pentingkan kuasa namun fokus saya adalah memastikan suara belia didengari.

“Ini bukan soal parti namun jika ia jadi keperluan, kita akan mempunyai pergerakan berpusat tidak terhad kepada belia. Namun ia bergantung kepada suara majoriti dan jawapannya ada pada belia Malaysia,” kata Syed Saddiq.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan